Skip to main content

Bola Sepak

Giroud hantar barisan Sarri ke pusingan kalah mati

giroud.jpg
BATE 0 CHELSEA 1

Jaringan sulung Olivier Giroud di bawah asuhan Maurizio Sarri menghantar Chelsea ke pusingan kalah mati Liga Europa hasil kemenangan 1-0 di BATE, awal pagi tadi. 


Penyerang Perancis, Giroud, menyudahkan umpanan silang Emerson Palmieri pada minit ke-52 yang menjadi pemisah perlawanan itu untuk memecah kebuntuan jaringan bersama kelabnya sejak Mei lalu. 

BATE, yang menyaksikan usaha mereka tiga kali mengggegar tiang mahupun palang, sepatutnya mendapat satu mata tetapi kini perlu menghidupkan semula peluang mereka dalam pertemuan akan datang menentang Vidi yang mengalahkan PAOK 1-0.

Keputusan itu bererti The Blues -- setelah meraih kemenangan kompetitif kelima berturut-turut --  harus menantikan kunjungan wakil Greece, PAOK, lewat bulan ini untuk mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan L.

Setelah meledak dua gol dalam tempoh lapan minit di Stamford Bridge dua minggu lalu, BATE bernasib malang apabila percubaan jarak jauh Dmitri Baga pada awal permainan sekadar mengenai tiang. 

Chelsea kemudian berjaya mengimbangi rentak permainan tanpa banyak menghasilkan percubaan berbahaya sehingga tamat separuh masa.

Giroud sempat menghadirkan ancaman menerusi satu tandukan sebelum rehat dan melakukan jaringan mirip gerakan yang sama apabila menyempurnakan hantaran Emerson.

BATE terus tumpul apabila hampir menyamakan kedudukan sejurus gol itu, namun usaha jarak dekat Nikolai Signevich mengenai palang sebelum Aleksey Rios yang tidak dikawal gagal menyumbat gol ketika peluang sudah terbentang luas. 

Eden Hazard kemudian dikeluarkan selepas perlawanan melewati sejam dan tanpanya, Chelsea mengendurkan asakan untuk mencipta kemenangan berharga 1-0 di sebalik aksi kurang meyakinkan sambil usaha terakhir pemain gantian, Evgeni Berezkin, dinafikan. 
 

Advertisement

Must Watch Video