Skip to main content

Bola Sepak

Gaya permainan Atletico Madrid sudah lapuk, kata Sacchi

diego-simeone.jpg
Arrigo Sacchi menyifatkan skuad kendalian Diego Simeone, Atletico Madrid, sebagai membosankan sambil berkata kelab Sepanyol itu sepatutnya membelanjakan wang untuk menukar gaya permainan mereka.

Atleti terkenal berdasarkan pertahanan mereka yang tersusun sepanjang 11 tahun di bawah asuhan Simeone dan taktik itu sekali lagi dipertaruhkan dalam kekalahan 0-1 kepada Manchester City, kelmarin. 

Pelawat gagal mengatur satu percubaan tepat dalam pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) itu dan menjadikan mereka sebagai pasukan pertama yang merekodkannya di pentas berkenaan sejak APOEL menentang Real Madrid pada Mac 2012.

Sejak data itu pertama kali direkodkan dari 2003-04, hanya empat pertembungan yang membabitkan sesebuah kelab itu gagal mendaftarkan sebarang percubaan. 

Pendekatan strategi sedemikian pernah membawa banyak kejayaan sepanjang dekad lalu yang menyaksikan Atleti memenangi lapan trofi -– termasuk LaLiga musim lalu -– selain turut mara ke final UCL sebanyak dua kali.

Sekalipun menghormati pencapaian pengurus dari Argentina itu, ketua jurulatih legenda dari Itali tersebut tidak menggemari gaya permainan Atleti.

"Simeone telah meraih banyak pencapaian dalam beberapa tahun kebelakangan ini," kata Sacchi, yang pernah mengemudi Atleti untuk tempoh singkat pada 1998-99, memberitahu Gazzetta dello Sport.





“Tidak dinafikan pengalamannya sebagai pemain di Itali telah mempengaruhinya sebagai jurulatih.

“Pertama sekali, jangan bolos kemudian kita lihat apa yang berlaku dengan bergantung kepada beberapa pemain berbakat sambil mengharapkan yang terbaik.

“Memang Atletico mempunyai elemen kualiti tetapi daripada soal pembelian pemain dan berbelanja besar, mereka seharusnya menukar corak permainan mereka.

"Mari kita berdepan hakikat: cara bermain sebegini membosankan penonton. Peminat mendambakan permainan cantik, mereka mahukan emosi. Adakah ada emosi dengan bermain hantaran jauh?"

Advertisement

Must Watch Video