Pertahanan Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco, mengakui sukar untuk menetapkan sasaran jangka masa pendek, rentetan perubahan jadual Liga Super yang sering berlaku selain penyusunan perlawanan yang jurang masanya terlalu besar.

Keadaan itu sedikit sebanyak mengganggu persediaan pasukan tanpa objektif tepat, walaupun dalam peratusan kecil ada juga kelebihan pasukan dalam situasi seperti ini.

Gallifuoco yang menjuarai Piala Malaysia 2021 itu masih dalam proses pemulihan sekalipun sudah membarisi kesebelasan utama ketika bertemu Kuching City minggu lalu.

"Musim ini agak janggal daripada segi pertukaran penjadualan selain berapa kali direhatkan.

"Jadi saya akan mengambil kesempatan itu untuk pemulihan," katanya di Nadi Arena.


Untuk menyeimbangi keadaan semasa, pemain kelahiran Australia mengambil kesempatan untuk pulih sepenuhnya sambil menantikan perkembangan terkini aksi membabitkan Warga Kota seterusnya, sama ada bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) atau bersedia untuk perlawanan pertama Piala Malaysia yang undiannya diadakan Isnin depan.




"Saya belum mencapai tahap 100 peratus. Tapi saya berhasrat membantu pasukan biarpun keputusan perlawanan tidak memihak kami.

"Saya tidak mengalami kecederaan baru jadi saya menjangkakan akan berada di tahap terbaik dalam perlawanan seterusnya," katanya.