Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, mengulangi ketegasan hanya akan membayar penuh gaji pemain-pemain The Red Warriors (TRW) sekiranya pasukan Pantai Timur itu meraih kemenangan.

Menurutnya yang lebih dikenali Zamsaham, dia akan membayar tunggakan itu sekiranya kelab yang berada di kedudukan ke-13 Liga Super tersebut meraih dua kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

“Pasal pemain kena potong 50 peratus dan tak dapat capai KPI (petunjuk prestasi utama). 10 kali kalah, satu kemenangan dan satu seri. Nombor 13 dalam liga. Nak KPI penuh? Nak gaji penuh?

“Berikan saya dua kemenangan dan 50 peratus yang ditahan akan dibayar penuh. Anda ada komitmen dan saya juga ada komitmen. Berikan saya prestasi.

“Pekerja yang baik kami akan kekalkan. Mana prestasi buruk kami buang. Dalam saham dipanggil cutloss atau tukar kepada lain yang lebih baik,” tulisnya, yang juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pemain-pemain yang gagal mempamerkan prestasi terbaik bersama TRW dalam satu hantaran d Facebook semalam.



Terdahulu terdapat rungutan dipercayai pemain-pemain TRW di media sosial yang mendakwa tidak dibayar gaji penuh dan juga bonus KPI setakat ini.

Sebagai rekod, Kelantan akan ke Stadium Darul Aman, Alor Setar menentang Kedah Darul Aman FC pada 19 Mei depan.

Kemudian anak buah Frank Bernhardt itu dijangka menerima kunjungan PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 23 Mei.

Mengenai larangan perpindahan pemain, Norizam berkata, "TRW sudah tiga tahun berreputasi tiada sekatan perpindahan pemain dan setakat ini tiada lagi sekatan untuk mengambil pemain dalam perpindahan kedua.

"Kalau ada hanyalah kes Fadel Antar yang sedang dilawan dan diselesaikan di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Peguam TRW sedang buat kerja untuk kebenaran memihak Kelantan FC. Insya-Allah tiada sekatan untuk ambil pemain baru."

Dalam masa sama, Norizam juga mengakui kecewa berhubung isu penjualan jersi TRW seperti yang didakwa pemain ke-12 pasukan Pantai Timur berkenaan.

“Isu-isu berkenaan jersi biarlah pengurus saya jawab. Saya minta mereka pulangkan sahaja balik duit kalau benar jersi itu rosak dan tidak selesai.

“Tempahan jersi banyak, sepatutnya saya boleh untung banyak. Tapi tak dapat dipenuhi. Sayang....saya kena ubah sesuatu,” tulisnya lagi.


Kredit: Sinar Harian