Skip to main content

Bola Sepak

Final Unifi Piala Malaysia: 'Umpama mimpi dalam mimpi'

baim.jpg
Itu perasaan teruja yang diluahkan perancang tengah Sri Pahang, Ibrahim Manusi yang tidak menyangka, pada usia 24 tahun dia bakal menjejakkan kaki ke pentas final Piala Malaysia 2024/2025.

Pernah meninggalkan arena bola sepak selama empat tahun sejurus tamat zaman persekolahan, pemain yang mesra disapa 'Baim' itu tekad membuktikan dia sebagai salah seorang prospek bola sepak masa depan Sri Pahang dan juga negara.

Menyedari akan tugas berat menanti dia dan rakan sepasukan, Baim bagaimanapun percaya tidak mustahil untuk Tok Gajah lakar kejutan ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Tanpa berselindung pemain kelahiran Sungai Buloh, Selangor itu mengakui dia berdebar untuk beraksi di final namun sedia untuk beri segala yang termampu seandainya disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

Untuk rekod, Baim yang dinaikkan pangkat ke skuad utama Tok Hajah sejak 2022 telah beraksi dalam 28 perlawanan bagi semua kejohanan domestik musim ini.

"Selepas tamat SPM, saya berhenti bermain bola sepak empat tahun sebelum menyertai saingan kelayakan pasukan Piala Presiden dan kini dalam skuad senior Sri Pahang," katanya menerusi Nadi Arena. 

"Sebelum ini saya menyaksikan Pahang beraksi di final dan kali ini saya mewakili pasukan ke aksi final.

"Di sebalik kami tanpa beberapa tonggak utama, kami akan cuba melakukan kejutan di final."

Advertisement

Must Watch Video