Skip to main content

Bola Sepak

Fellaini beri United kekuatan baru -- Allegri

marouane-fellaini.jpg
Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, percaya bahawa kemasukan Marouane Fellaini memberikan perubahan dalam corak permainan Manchester United yang membantu pasukan itu memperoleh kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Fellaini dimasukkan ketika United sedang ketinggalan 0-1 selepas Cristiano Ronaldo menjaringkan gol voli menarik dan pelawat kemudian meraih kemenangan mengejutkan menerusi jaringan Juan Mata serta gol sendiri daripada Alex Sandro.

Pemain tengah Belgium itu hampir menemui jaringan selepas menanduk bola umpanan Ashley Young sebelum tercetus jaringan kemenangan United dan Allegri mendakwa pemain itu menjadi faktor penentu dalam pertembungan Kumpulan H itu. 

"Dalam perlawanan pertama, mereka tidak dapat menurunkan Fellaini dan kami memanfaatkan kekurangan itu," kata Allegri dalam sidang media.

"Malam ini (awal pagi tadi), dia bermain secara fizikal dan mengawal situasi bola tinggi.

"Bolos melalui sepakan percuma itu merupakan kesilapan terbesar kami dan kami perlu membayar dengan harga tinggi.

"Kami perlu belajar daripada kekalahan itu," tambahnya.

Juve kekal selaku pendahulu Kumpulan H dengan sembilan mata, dua mata melebihi United dan jauh meninggalkan Valencia (lima) dan Young Boys (satu).

Advertisement

Must Watch Video