Skip to main content

Bola Sepak

Faridzuean mahu pikat hati Yusri

faridzuean.jpg
Penjaga gawang, Mohamad Faridzuean Kamaruddin, bertekad mengulangi aksi terbaik semasa mewakili Kelantan musim lalu sambil mengintai peluang membarisi kesebelasan utama skuad Kuala Lumpur dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Dia menjelaskan persembahan terbaik ketika membantu skuad The Red Warriors (TRW) mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia musim lalu menjadi motivasi terbaik untuk memikat hati pengendali skuad The City Boys, Yusri Che Lah.

"Saya akui cabaran merebut tempat sebagai penjaga gol utama Kuala Lumpur cukup sengit dan mencabar. 

"Alhamdulillah, saya akan berikan yang terbaik dalam latihan dan terserah kepada jurulatih untuk membuat keputusan," katanya.

Faridzuean yang juga bekas penjaga gol Melaka United (MU) menolak andaian kelebihan berpihak kepadanya memandangkan dia sudah bersama Yusri di Kelantan musim lalu.

"Ada enam penjaga gol yang sedang menjalani latihan sekarang. Masing-masing memiliki keupayaan tersendiri. Kami akan bersaing secara sihat dan ambil serius taktikal pasukan.

"Secara peribadi, saya beruntung kerana masih dapat bergabung dan menerima ilmu di bawah seorang jurulatih yang kaya dengan pengalaman," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video