Pemain sayap Terengganu, Faisal Halim, mengakui tidak akan melepaskan peluang untuk berkelana ke luar negara selepas dihubungi ejen dari Sepanyol dan Portugal rentetan aksi cemerlangnya dalam aksi persahabatan di Amman, Jordan, bersama skuad Harimau Malaya minggu lalu.

'Mickey' ketika mengesahkan perkara itu kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, turut mendedahkan rahsia di sebalik persembahan mantapnya ketika menentang Jordan dan Uzbekistan.

"Semua orang memberi kata-kata positif kepada saya, mereka menggalakkan saya supaya ke sana.

"Sejujurnya memang ejen dari Sepanyol itu ada menghubungi saya tapi saya belum tahu lagi perinciannya, kalau ada rezeki saya memang mahu ke sana.

"Selepas habis liga, baru saya fikirkan tawaran ini. Kalau betul ada rezeki, ada peluang bermain di luar negara, saya tidak akan tolak," katanya di Nadi Arena.





Mickey menggunakan kelincahannya untuk merobek gawang lawan apabila membuktikannya menerusi lima gol dalam Liga Super.

Lantas, dia mengakui penghijrahannya ke skuad Pantai Timur itu antara pemangkin prestasinya hingga mendapat hati jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

"Saya mampu beraksi bersama skuad negara dengan mengekalkan prestasi seperti dalam Liga Super adalah kerana pasukan Terengganu dan jurulatih, Nafuzi Zain.

"Konsep Terengganu ialah aksi berkeamatan tinggi yang melibatkan hantaran satu dua.

"Jurulatih berpesan jika ada ruang maka saya boleh gelecek pemain lawan, di kawasan tiga perempat lawan pula kami diberi kebebasan, bermain mudah.

"Begitu juga dalam skuad kebangsaan, cuma saya perlu perbaiki lagi tahap permainan sekiranya saya disenaraikan dalam Piala AFF.

"Saya tidak rasa pujian ini adalah satu perkara yang hebat yang perlu dibangga-banggakan. Adalah lumrah apabila pemain beraksi dengan baik, kami akan mendapat pujian tapi kalau mengalami keadaan sukar pula akan menerima kritikan.

"Saya berterima kasih atas pujian dan berharap ia akan menjadikan saya lebih bersemangat untuk membaiki kelemahan," katanya lagi.

Kelincahan dan visi yang jelas dalam padang menjadi faktor utama Faisal dipancing ejen luar negara walaupun pemain kelahiran Pulau Pinang itu hanya bertubuh kecil.

Perkara itu dikongsi ejennya, Alif Azilan, daripada Syarikat Estrada Sports Agency yang turut mengesahkan perbincangan seterusnya akan dilakukan dengan pengurusan kelabnya memandangkan pemain itu masih mempunyai baki kontrak bersama skuad Peteh hingga November 2022.

"Saya beritahunya agar menghormati kontraknya sementara tawaran daripada pasukan lain saya perlu tengok dulu.

"Saya sebagai ejennya akan berjumpa dengan pengurusan Terengganu. Tetapi pemain perlu hormati kontrak sedia ada dan berikan komitmen dalam baki Piala Malaysia.

"(Ejen Sepanyol itu memang ada bertanyakan) perincian klausa pelepasan dan gaji pemain," katanya.

Selain Faisal, pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal, turut menarik minat ejen luar negara untuk dibawa berkelana ke Eropah berdasarkan aksi yang diperagakan dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.