David Beckham percaya isu yang membelenggu Manchester united telah berlarutan terlalu lama sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013.
The Red Devils hanya memenangi empat trofi utama sejak pemergian Ferguson dengan yang terbaru memenangi Piala EFL musim lalu -- menamatkan kemarau enam tahun tanpa sebarang gelaran.
United tidak pernah memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak musim terakhir pengurus berbangsa Scotland itu, di mana enam pengurus selepasnya gagal mengembalikan mahkota liga divisyen utama berkenaan ke Old Trafford.
Musim ini, pasukan kendalian Erik ten Hag itu berisiko menamatkan liga di kedudukan dan mata terendah, di mana mereka kini sedang menduduki tangga ke lapan dengan hanya 54 mata berbaki dua perlawanan.
Beckham, yang memenangi 13 trofi, termasuk enam gelaran EPL dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), berkata kepada The Athletic: "Saya fikir ia waktu yang sukar sepanjang lima atau 10 tahun terakhir ini tetapi ia pasti akan berlaku selepas bos meninggalkan kelab ini.
"Bukan itu sahaja, kita kehilangan pemain seperti Ryan Giggs, Roy Keane dan Gary Neville, semua pemain yang telah memperkuatkan United untuk tempoh yang amat panjang.
"Jadi, ia pasti akan menjadi waktu yang sukar tetapi kita perlu melihat kepada perbuahan secepat mungkin kerana saya rasa ia sudah berlaku terlalu lama," katanya.
Muzaffar Musa
Tue May 14 2024