EPL
EPL: Kemenangan pemanas badan Newcastle sebelum final Piala EFL
WEST HAM 0 NEWCASTLE 1
Bruno Guimaraes berkata perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Liverpool awal pagi Isnin depan ibarat aksi Piala Dunia Kelab buat Newcastle United yang memanaskan badan dengan kemenangan 1-0 ke atas West Ham, awal pagi tadi.
Kapten Magpies itu menjaringkan gol tunggal perlawanan di Stadium London, di mana pasukan bimbingan Eddie Howe itu naik ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan hanya dua mata di belakang Chelsea yang menguasai tempat keempat.
Iklan
Bagaimanapun, tumpuan Newcastle kini beralih kepada bertemu Liverpool di Wembley dalam usaha menamatkan penantian kelab selama 70 tahun untuk menjulang trofi utama.
Dan dengan skuad yang bermotivasi termasuk kelibat penyerang terbaik di dunia, Alexander Isak -- Guimaraes menegaskan bahawa mereka mampu menewaskan mana-mana pasukan di dunia.
"Kami mahu berjuang untuk sekali lagi bermain dalam Liga Juara-Juara (UCL). Ia adalah kemenangan besar bagi kami pada malam ini," katanya kepada Sky Sports.
"Adalah bagus untuk memastikan tidak dibolosi dan mendapatkan semula keyakinan sebelum perlawanan akhir. Apabila kami bermain seperti itu, kami menunjukkan karakter sebagai sebuah pasukan. Kami boleh mengalahkan mana-mana pasukan di dunia. Kami hanya perlu konsisten.
"Saya rasa final Piala EFL adalah besar untuk sejarah kelab ini dan kami mahu menjadi sebahagian daripadanya. Kami tahu kami akan menentang salah sebuah pasukan terbaik. Semoga, kami ke Wembley dan merangkul kejuaraan.
"Saya percaya bahawa kami mampu mencapai kejayaan. Dalam perlawanan akhir, segala-galanya boleh berlaku. Saya percaya penyokong kami boleh membantu.
"Bagi kami, ia seperti Piala Dunia. Kami mahu mencipta sejarah untuk kelab ini.
"Ia adalah satu tempoh yang lama untuk penyokong tanpa trofi."
Must-Watch Video