Skip to main content

Bola Sepak

EPL: Kembali dalam kesebelasan utama yakinkan Harry Maguire kekal di Manchester United.

maguire_1.jpg
Harry Maguire berasa lebih yakin dengan keputusannya untuk kekal merebut tempat di Manchester United setelah berhasil kembali ke dalam kesebelasan utama pasukan bimbingan Erik ten Hag itu.

Masa depan pemain berusia 30 tahun itu kelihatan jauh dari Old Trafford setelah kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama, ditambah dengan dilucutkan gelaran kapten pada musim panas lalu, tetapi potensinya untuk berpindah ke West Ham atau pasukan lain pada waktu itu tidak menjadi kenyataan.

Keyakinan diri Maguire tidak pernah goyah dengan sering mendapat kritikan yang menguji keyakinannya untuk kini mendapatkan kembali tempatnya di United.

Ia kedengaran tidak masuk akal bagi ramai orang tetapi itulah yang dilakukannya, dengan pemain antarabangsa England itu memulakan lapan perlawanan terakhir United dalam kesemua kejohanan.

Ditanya adakah ia satu pembuktian yang dilakukannya untuk kekal di United, Maguire berkata: "Tentu sahaja.

"Saya bermain dalam beberapa perlawanan tahun lalu, 16 atau 17 kali dalam barisan utama dan saya rasa saya bermain sangat baik dalam perlawanan yang saya beraksi. Cuma saya tidak bermain sebanyak yang saya inginkan.

"Di sisi lain, Rapha (Varane) dan Licha (Lisandro Martinez) bermain dengan sangat baik dan mencatat banyak 'clean sheet'. Saya perlu menunggu giliran saya dan bersabar.

"Saya memiliki dua atau tiga kesempatan musim lalu untuk memulakan perlawanan tetapi saya jatuh sakit, saya mengalami kecederaan sebanyak dua kali, jadi saya tidak mendapatkan rentak dan tidak dapat memulakan perlawanan untuk membuktikan diri kepada pengurus.

"Sekarang saya mendapatkannya, saya sangat menikmati permainan saya dan saya benar-benar menikmati bermain untuk kelab ini.

"Saya bersedia untuk bertahan dan berjuang untuk tempat saya, dan kami memiliki empat, lima pertahanan tengah antarabangsa utama di kelab ini dan persaingan untuk mendapatkan tempat sangat tinggi."


 

Advertisement

Must Watch Video