Skip to main content

Bola Sepak

EPL: Ia masih belum berakhir -- Arteta yakin Arsenal masih boleh bergelar juara

arsenal-manager-mikel-arteta.jpg
Mikel Arteta menegaskan bahawa Arsenal masih akan berusaha untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sambil memuji barisan pemainnya kerana enggan mengalah untuk sekadar melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Selepas menduduki tangga teratas hampir keseluruhan musim ini, Arsenal akhirnya tergelincir daripada kedudukan itu selepas Manchester City mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Fulham hujung minggu lalu.

City memenangi lapan perlawanan liga berturut-turut, termasuk ketika membelasah Arsenal 4-1 minggu lalu, sekali gus di landasan terbaik untuk meraih gelaran EPL kelima sepanjang enam musim ini.

Sebaliknya, Arsenal hanya meraih tiga mata daripada empat perlawanan liga terakhir tetapi peningkatan ketara musim ini sekurang-kurangnya memastikan kepulangan mereka ke pentas UCL musim depan -- buat kali pertama selepas enam musim tidak layak ke saingan utama Eropah berkenaan.

Ketika City kini menjadi pasukan pilihan untuk bergelar juara, Arteta menegaskan bahawa perjuangan Arsenal masih belum selesai menjelang perlawanan bertemu Chelsea di Stadium Emirates hujung minggu ini.
 
"Kami sudah mencapai apa yang sukar untuk dicapai dan kami masih boleh memenangi EPL kerana masih ada lima perlawanan untuk dilalui dan banyak perkara masih boleh berlaku," kata Arteta.

"Kini, perebutan kejuaraan bukan berada di tangan kami lagi. Apa yang berada di tangan kami adalah untuk mencuba memenangi setiap baki perlawanan dan selebihnya terpulang kepada City.

"Apa yang kami perlu lakukan adalah melupakan apa yang terjadi minggu lalu, belajar daripadanya dan fokus kepada perlawanan seterusnya dengan aksi terbaik di laman sendiri, di depan penyokong kami dalam Derby London dan melakukan segalanya dengan betul.

"Saya tahu apa yang kami cuba lakukan, apa objektif terhadap apa yang kami lakukan dan kami masih ada bahagian terbaik musim ini untuk beraksi dalam lima perlawnan terakhir.

"Tetapi ketika saya melihatnya, ia masih belum berakhir," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video