EPL
EPL: Gol Salah, Carvalho jadi inspirasi Liverpool atasi Arsenal
LIVERPOOL 2 ARSENAL 1
Penyudah Mohamed Salah dan Fabio Carvalho dalam separuh masa pertama menghadiahkan Liverpool kemenangan 2-1 ke atas Arsenal di hadapan 69,879 penonton di Stadium Philadelphia Eagles NFL, sebentar tadi.
Bintang Mesir itu membuka tirai jaringan buat The Reds pada minit ke-13 selepas menghidu hantaran membelah pertahanan daripada Harvey Elliott.
Iklan
Penyerang itu sempat memperdayakan bek tengah Arsenal, Gabriel, sebelum melepaskan rembatan rendah kaki kiri yang gagal diselamatkan penjaga gol Arsenal, Karl Hein.
Carvalho kemudian menggandakan kedudukan buat Liverpool pada minit ke-34 dengan Elliott sekali lagi menjadi arkitek jaringan itu.
Pemain sayap Portugal berusia 21 tahun itu menyambut hantaran Elliott ke dalam kotak penalti dan melepaskan sepakan voli kaki kanan kencang yang melalui celah kaki Hein.
Victory for the Reds in Philly ??? pic.twitter.com/sTCmkwSd5t— Liverpool FC (@LFC) August 1, 2024
Bagaimanapun, Arsenal mengurangkan defisit pada minit ke-40 apabila Kai Havertz mengatasi penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher, dari jarak dekat selepas umpanan Martin Odegaard menemuinya -- enam ela di depan gawang.
Separuh masa kedua berakhir tanpa tambahan jaringan, sekali gus memastikan kemenangan untuk pengurus baru Liverpool dari Belanda, Arne Slot, yang dilantik bagi menggantikan Jurgen Klopp.
Pertahanan Itali berusia 22 tahun yang baru ditandatangani Arsenal, Riccardo Calafiori, pula tidak berada dalam barisan The Gunners.
Dalam aksi persahabatan lain di Amerika Syarikat, Chelsea menewaskan Mexico, Club America, 3-0 sementara AC Milan menewaskan Real Madrid 1-0.
Must-Watch Video