Skip to main content

Bola Sepak

EPL: David Silva legenda sepanjang zaman, kata bekas rakan sepasukan di City, Joleon Lescott

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

david-silva.jpg
Pemain yang baru bersara, David Silva, akan dikenang sebagai antara pemain terbaik pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), kata bekas rakan sepasukannya di Manchester City, Joleon Lescott.

Pemain tengah Real Sociedad, Silva, mengumumkan persaraannya pada usia 37 tahun pada minggu lalu selepas mengalami kecederaan lutut serius sewaktu sesi latihan pramusim.

Sebelum menyertai La Real pada 2020, Silva memenangi empat gelaran EPL dan tujuh piala domestik sepanjang era gemilangnya di Stadium Etihad.

Silva, yang memenangi Piala Dunia 2010 dan dua gelaran Euro bersama Sepanyol, mengetuai senarai bantuan jaringan terbanyak (89) dan mencipta peluang terbanyak (768) sepanjang tempoh sedekadnya dalam EPL dari 2010 hingga 2020.
 
Pernah beraksi di samping Silva dari 2010 hingga 2014, bekas pertahanan City, Lescott, percaya Silva layak digelar legenda EPL.

"Sewaktu dia menyertai kami, dia sememangnya pemenang Piala Dunia dan pemenang dua Euro. Dia kemudian berkembang menjadi seorang ikon dalam EPL, antara pemain terbaik pernah beraksi dalam EPL," kata Lescott kepada Stats Perform.

"Saya fikir kita semua sedar dengan kualiti yang dimilikinya sewaktu di atas padang, dia memang sorang yang hebat.

"Pujian terbesar saya untuk David adalah mengenai kualitinya sebagai seorang manusia dan sebagai seorang pemain," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video