MANCHESTER UNITED 1 CHELSEA 1

Moises Caicedo menafikan kemenangan sulung Ruud Van Nistelrooy selaku pengendali sementara Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas jaringan pemain tengah itu memastikan Chelsea mengikat pasukan tuan rumah di Old Trafford, malam tadi.

Selepas aksi separuh masa pertama yang kurang menarik ditampilkan kedua-dua pasukan, Theatre of Dreams digamatkan selepas Robert Sanchez mengasari Rasmus Hojlund dalam kotak penalti pada minit ke-70.

Kapten pasukan, Bruno Fernandes, menoktahkan peluang keemasan itu dengan jaringan pertama buat The Red Devils untuk meletakkan pasukannya di landasan kemenangan.





Begitupun, kegembiraan United tidak bertahan lama selepas rembatan kaki kanan Caicedo menewaskan Andre Onana selang empat minit kemudian untuk kedudukan terikat 1-1 dan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.

Keputusan seri itu menyaksikan Chelsea mengatasi Arsenal untuk menduduki kelompok empat teratas liga manakala United di tangga ke-13 dengan 12 mata selepas 10 perlawanan.





Dengan hanya mengumpul 12 mata, ini merupakan rekod terburuk Manchester United selepas 10 perlawanan dalam kempen liga sejak 1986-1987.