Skip to main content

Bola Sepak

EPL: Arteta mahu pemain Arsenal nikmati waktu di tangga teratas

arsenal-v-chelsea-premier-league-emirates-stadium.jpg
Mikel Arteta enggan barisan pemainnya mengaku kalah dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Ini selepas Arsenal kembali ke tangga teratas liga dengan menewaskan Chelsea 3-1 awal pagi tadi.

The Gunners mendahului lapan mata pada bulan lalu tetapi mereka kemudian dipintas Manchester City gara-gara melalui empat perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan -- rekod buruk yang kemudian ditamatkan dengan kemenangan selesa ke atas The Blues.

Ketua pasukan, Martin Odegaard, menjaringkan dua gol sebelum Gabriel Jesus menambah satu lagi jaringan sebelum gol liga pertama Noni Madueke memberikan sagu hati buat pelawat bimbingan Frank Lampard itu pada penghujung saingan.

Biarpun melalui tempoh buruk sebelum ini, Arteta enggan Arsenal mengalah daripada pemburuan gelaran EPL dan kejayaan terbaru itu memberikan mereka kelebihan dua mata di atas City -- walaupun mereka sudah beraksi lebih dua perlawanan berbanding pencabar berkenaan.

Pengurus berbangsa Sepanyol itu mengakui tidak mahu melihat semangat pemainnya luntur selepas kekalahan besar kepada City minggu lalu memadamkan kelebihan mata mereka.

"Ia masih ada empat perlawanan lagi, kami di tangga teratas ketika ini.

"Kami tidak boleh melakukannya (mengaku kalah), untuk berada di sini selepas 10 bulan di atas pasukan yang memintas kami, ia memberikan kami kemungkinan untuk kekal berada di atas.

"Kami perlu menikmatinya dan menerimanya, memaksimumkan peluang yang kami ada kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku.

"Kami mahu melakukan pendekatan yang amat berbeza dalam perlawanan ini dan kami melakukannya dengan betul sejak dari awal.

"Pasukan ini sudah kembali ke tahap terbaik. Kami mahu buktikan yang kami masih bersemangat. Saya dapat melihatnya sepanjang beberapa hari lalu dan kami melakukan persiapan dengan baik bagi menghadapi perlawanan ini.

"Mental kami dapat berada di suasana yang sepatutnya dan dengan tenaga di tahap yang betul. Segalanya berjalan baik buat kami, di mana itulah perkara paling utama.

"Kami melalui dua minggu yang sukar dengan perlawanan yang amat berbeza, dengan melibatkan banyak emosi. Kini kami sudah kembali ke tangga teratas dan kita akan lihat apa yang bakal berlaku," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video