EPL
EPL: Arsenal sekadar seri dengan Palace, Liverpool hanya perlu satu mata bergelar juara
ARSENAL 2 CRYSTAL PALACE 2
Kesilapan William Saliba menyaksikan Arsenal terikat 2-2 dengan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Keputusan itu secara tidak langsung menyaksikan Liverpool hanya dipisahkan satu mata dengan kejuaraan liga musim ini.
Iklan
Seandainya Palace memenangi pertemuan itu, ia akan memastikan kejuaraan liga ke-20 Liverpool tanpa perlu menunggu aksi hujung minggu ini tetapi pasukan bimbingan Arne Slot berkenaan kini boleh berkira-kira untuk meraikan kejayaan terbaru mereka itu ketika melayani tandangan Tottenham Hotspur di Anfield beberapa hari lagi.
Palace tidak dapat mendahului tetapi jelas pasukan yang lebih baik, di mana mereka memberikan respons terhadap jaringan pembukaan Jakub Kiwior buat tuan rumah dengan gol gemilang Eberechi Eze.
Mereka kemudian berusaha keras menyamakan kedudukan selepas Leandro Trossard kembali meletakkan Arsenal di depan sebelum tamat separuh masa pertama.
Gol penyamaan kedua Palace hanya tiba pada tujuh minit terakhir, di mana kesilapan tidak masuk akal Saliba memberikan bola kepada pemain gantian pelawat, Jean-Philippe Mateta, membuka ruang buat pemain itu untuk melakukan lambungan yang tepat menuju jaring untuk menewaskan David Raya.
Keputusan seri itu menyaksikan Arsenal ketinggalan 12 mata di belakang Liverpool berbaki empat perlawanan musim ini manakala Palace kekal di tangga ke-12 menjelang pertemuan separuh akhir Piala FA menentang Aston Villa hujung minggu ini.
Must-Watch Video