Skip to main content

Bola Sepak

Emery didenda RM41,000 kerana sepak botol

unai-emery.jpg
Pengurus Arsenal, Unai Emery, didenda £8,000 (RM41,000) oleh Persatuan Bolasepak England (FA) selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan berkelakuan tidak wajar dengan menyepak botol minuman ke arah penyokong ketika pasukannya terikat 1-1 dengan Brighton and Hove Albion, minggu lalu.

Insiden itu berlaku pada penghujung perlawanan di Stadium Amex dan Emery melakukan tindakan itu sebagai reaksi kekecewaannya terhadap aksi buruk salah seorang pemainnya.

Botol yang disepak itu terkena seorang penyokong Brighton dan Emery dilihat memohon maaf kepada penyokong itu sejurus menyedari insiden tersebut.

Dia turut dilihat memohon maaf sekali lagi selepas tamat perlawanan.

"Sepakan itu tidak kuat tetapi terkena seorang penyokong mereka.

"Saya ingin memohon maaf kepada mereka," katanya.

Satu kenyataan FA semalam mendakwa: "Pengurus Arsenal, Unai Emery, dikenakan denda sebanyak £8,000 (RM41,000) selepas mengaku bersalah di atas dakwaan berkelakuan tidak wajar dan dia menerima denda yang dikenakan kepadanya.

"Denda itu berdasarkan tingkah lakunya ketika perlawanan dengan Brighton pada 26 Disember 2018."

Hukuman itu melengkapkan minggu buruk Emery selepas pasukannya dibelasah Liverpool 5-1, kelmarin.

Advertisement

Must Watch Video