Skip to main content

Bola Sepak

Di Maria, Cavani julang PSG tanpa kelibat Neymar

cavani.jpg
PSG 4 RENNES 1:

Sentuhan Neymar tidak mungkin dapat digunakan apabila Paris Saint-Germain (PSG) berkunjung ke Manchester United untuk aksi Liga Juara-Juara (UCL) bulan depan, kata pengurus, Thomas Tuchel.


Juara Ligue 1 itu mengumumkan pemain termahal di dunia itu mengalami kecederaan berulang yang memeritkan di jari kaki kanannya seperti musim lalu selepas dilanda masalah itu dalam kemenangan 2-0 di Strasbourg dalam kempen Coupe de France, minggu lalu. 

PSG turun tanpa penyerang bintang itu awal pagi tadi untuk mengetepikan cabaran Rennes 4-1 dengan Edinson Cavani meledak dua gol. 

RMC Sport melaporkan Neymar tidak akan beraksi dalam pusingan 16 UCL di Old Trafford, 13 Februari ini. 

Bercakap kepada Canal Plus selepas itu, Tuchel mengakui ia adalah mustahil. 

"Ia akan menjadi sangat sukar," katanya.

"Seperti yang saya jelaskan kelmarin, terlalu awal untuk bercakap tentang tarikh Neymar akan kembali. Kita perlu tunggu minggu pertama, itulah yang sangat penting selain tindak balasnya terhadap proses pemulihan. 

"Hanya selepas itu barulah kami boleh mengenal pastinya tahap pemulihannya dengan tepat, namun ia akan menjadi sangat sukar -- ia bukan rahsia lagi."

Tatkala Cavani dan barisan pencetak gol yang lain, Angel Di Maria dan Kylian Mbappe, mampu menampung ketiadaan Neymar, skuad Tuchel tidak memiliki begitu banyak pilihan di bahagian tengah.

Ketiadaan Marco Verratti yang tercedera sementara Adrien Rabiot pula disisihkan daripada skuad utama, situasi itu menyebabkan pertahanan Brazil, Marquinhos dan Dani Alves, membentuk gandingan di bahagian tengah ketika bertemu Rennes. 

Justeru, PSG semakin terdesak untuk mengikat Leandro Paredes daripada Zenit, namun Tuchel sempat berseloroh terhadap proses perpindahan itu yang tertangguh sejak hujung minggu lalu. 

"Saya sudah menjangkakan dia akan tiba sejak beberapa hari lalu tetapi dia belum sampai lagi," katanya.

"Saya cuba mencarinya di dalam bilik mandi, bilik persalinan, bilik rawatan dan dalam kalangan penjaga gol ... tetapi dia tiada di sana."

 

Advertisement

Must Watch Video