Skip to main content

Bola Sepak

De Jong: Saya berbincang dengan PSG, City sebelum sertai Barca

frenkiedejong.jpg
Bintang baru Barcelona, Frankie de Jong, mendedahkan dia pernah berbincang untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester City sebelum melengkapkan perpindahan ke pasukan juara LaLiga, Barcelona.

Barca mengumumkan kemasukan bintang sensasi Ajax itu dengan yuran pendahuluan €75 juta (RM353.2 juta), malam tadi, dan pemain tengah kelahiran Belanda itu akan menandatangani kontrak lima tahun selepas tamat musim 2019-20.

De Jong akan kekal bersama Ajax bagi menghadapi baki saingan Eredivisie dan pemain berusia 21 tahun itu mengakui pernah mengadakan perbincangan dengan PSG dan City sebelum bersetuju menyertai Barca.

"Saya amat gembira, berbangga dan lega selepas segala-galanya selesai," katanya kepada NOS.

"Saya pernah berbincang dengan PSG dan saya memberitahu Maxwell yang saya tidak akan menyertai mereka.

"Saya juga ada berbincang dengan Pep Guardiola tentang perpindahan ke City.

"Setiap pasukan pasti akan meyakinkan anda jika mereka mahu anda menyertai mereka.

"Saya gembira dan berbangga terhadap usaha yang mereka lakukan itu.

"Barcelona sudah lama menginginkan saya.

"Mereka cuba untuk menandatangani saya tahun lalu.

"Namun, mereka juga memiliki tahap kewangan tersendiri dan tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan yang terlalu banyak," katanya.

De Jong membantu Ajax melangkah ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah dan bakal bertemu juara bertahan, Real Madrid.

Dia juga telah menghasilkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan sepanjang kempen Eredivisie musim ini.

Sebagai rekod, De Jong merupakan pemain ketiga yang ditandatangani Barca dalam jendela perpindahan Januari selepas mengikat Jeison Murillo (Valencia) dan Kevin-Prince Boateng (Sassuolo).

Advertisement

Must Watch Video