Pemain skuad Negeri Sembilan, Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham, perlu bekerja keras untuk terus menambat hati pengendali skud B-23, Datuk Ong Kim Swee, selepas dua tahun menanti peluang akibat kecederaan lutut (ACL) yang dialami sejak 2017.
Pertahanan tengah itu pernah berada dalam skuad B-22 negara pada 2016 ketika di bawah kendalian Frank Bernhardt selain turut beraksi dalam beberapa kejohanan seperti Piala Negara-Negara di Melaka dan Kejuaraan AFF B-19.
Namun, kecederaan ACL yang menghimpitnya ketika pra-musim 2017 memaksanya untuk berehat panjang selain diketepikan untuk terus berada dalam skuad B-23 negara.
Pemain berusia 22 tahun tersebut sedar bukan mudah untuk merebut tempat dalam pasukan selepas sekian lama bergelut untuk mencari kembali momentum permainan.
"Kecederaan saya sudah pulih sepenuhnya dan fizikal saya cukup sudah kembali ke tahap biasa.
"Jadi tiada masalah saya berikan aksi 100 peratus untuk pasukan jika diberi peluang," kata Danish.
Apa yang pasti, Danish enggan terlepas untuk berada dalam kesebelasan utama dalam aksi pemanas badan di Bangkok, Thailand, minggu hadapan yang akan menjadi medan utama persiapan menjelang Kejohanan AFF B-22 di Kemboja, bulan depan.
"Kalau diberi peluang, sudah pasti saya mahu merebut tempat dalam kesebelasan.
"Saya harap dapat kekal dalam perlawanan-perlawanan besar," katanya.
Penulis Jemputan
Thu Jan 10 2019