LIGA SUPER MSIA
Caion bawa keseimbangan jentera serangan Selangor
Jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner, enggan memberi tekanan kepada penggempur baru, Herlison Caion, untuk mewarisi ketajaman penyudah Ifedayo Olusegun sekalipun percaya kehadiran penyerang dari Brazil itu mampu memastikan ia sebagai pembelian berbaloi.
Penyokong Gergasi Merah Kuning pastinya meletakkan harapan tinggi kepada Caion untuk menjadi mesin gol pada musim 2022.
Ifedayo meninggalkan kelab hujung musim ini selepas memberi impak kuat kepada prestasi pasukan itu menerusi pencapaiannya menggondol dua Kasut Emas Liga Super.
Iklan
Namun, Feichtenbeiner menegaskan adalah tidak adil untuk membuat perbandingan di antara dua pemain itu biarpun menagih Caion mampu menjelmakan aksi mantap pada musim pertamanya dalam Liga Malaysia.
"Saya percaya jentera serangan kami mempunyai kekuatan seimbang -- mencipta peluang dan meledak banyak gol.
"Mungkin Ciaon atau Shahrel (Fikri Fauzi) yang muncul penjaring terbanyak. Kami perlukan pilihan seperti ini selepas terlalu bergantung kepada Ifedayo dalam dua musim terakhir.
"Tidak elok terlalu bergantung kepada seorang pemain semata-mata.
"Saya percaya Caion bukan sahaja mampu mencetak jaringan, malah sesuai dengan corak permainan kami," katanya.
Selangor menandatangani Caion dari kelab Liga Dua Thai, Muangkan United, selain dua pemain kebangsaan Jordan, Baha Abdul Rahmen dan Yazan Al-Arab.
Feichtenbeiner juga percaya kehadiran tonggak import baru itu mampu memberi dimensi berbeza kepada pasukan dalam usaha mencapai kejayaan pada musim 2022.
Must-Watch Video