Skip to main content

Bola Sepak

Bojan Hodak label karakter Kuala Lumpur City macam budak sekolah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kl-city-vs-negeri-sembilan.jpg
Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak, tidak berpuas hati dengan persembahan para pemainnya selepas diikat Negeri Sembilan FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. 

Bojan kecewa dengan aksi pemain terutama pada minit-minit akhir perlawanan yang menyaksikan lawan menjaringkan gol penyamaan.

Malah, dia turut menyifatkan pemainnya seperti budak sekolah yang perlu sentiasa dimarahi untuk mengelakkan daripada berbuat kesilapan dalam perlawanan.

"Kami bazirkan dua mata kerana seharusnya membawa pulang tiga mata. Mereka bermain dengan baik pada awal permainan namun apabila sudah penat tidak akan mendengar lagi sebarang arahan.

"Kalau anda masih ingat musim 2021 perkara sama berlaku dalam beberapa perlawanan apabila kami bolos pada saat-saat akhir dan selepas kami perbaiki kelemahan itu, kami mula menang dalam pusingan kedua liga.



"Apa yang saya boleh katakan pemain ini seperti kanak-kanak di sekolah, kena sentiasa ditegur atau dimarahi baru mereka belajar," katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Romel Morales meletakkan KL City di hadapan pada minit ke-40 sebelum Zainal Abidin Jamil meledak gol pada minit ke-94 untuk memastikan Negeri Sembilan FC berjaya membawa pulang satu mata.

Dalam pada itu, pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan gembira pasukannya berjaya mencuri satu mata di laman lawan terutama berdepan pasukan KL City yang lebih kuat.




"Memang satu keputusan yang bagus hari ini. Walaupun kami ketinggalan tetapi kami berjaya menyamakan kedudukan dan mendapatkan satu mata.

"Kalau nak dibandingkan KL City dengan kami, mereka pasukan lebih baik. Sebab itu, saya gembira kami dapat satu mata," katanya.

Kredit: Sinar Harian 

Advertisement

Must Watch Video