Skip to main content

Bola Sepak

Berita palsu meninggal dunia: Safee akan jumpa peguam

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

070516safeesali.jpg
Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safee Sali, tidak menolak kemungkinan akan menyaman individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin "dia meninggal dunia" yang menjadi viral di laman sosial hari ini.

Perkhabaran mengenai Safee tersebar luas di media sosial, dengan bekas pemain Pelita Jaya itu mengakui ia memberi kesan kepada ahli keluarganya.

Safee berkata dia akan mendapatkan nasihat peguam sebelum memutuskan tindakan selanjutnya bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi pada masa depan.

"Ini (kejadian) kali kedua berlaku, yang menyebabkan seluruh keluarga saya dalam kerisauan. Ia satu perkara yang tidak boleh dibuat main-main. 

"Saya perlu ambil tindakan dan pertahankan diri saya daripada perkara-perkara seperti ini.

"Sudah tentu, saya akan membawa perkara ini kepada peguam dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya," kata Safee.

Bekas penyerang kebangsaan itu turut menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan kini berada di samping keluarganya di Johor Bahru.

"Alhamdullillah, saya sihat dan berada dalam keadaan baik di rumah bersama keluarga. Tidak ada apa-apa yang berlaku," jelasnya.

Safee menyertai JDT pada 2013 dan baru sahaja menyambut kejuaraan Liga Super ketiga beruturt-turut bersama Harimau Selatan.

Advertisement

Must Watch Video