BOLA SEPAK
Belgium kekal ungguli carta dunia
Belgium melakar rekod baru dengan menamatkan pencapaian tahun ini dengan menduduki tangga teratas dunia buat tahun keempat berturut-turut.
Selepas menyaksikan hanya 352 perlawanan antarabangsa dilangsungkan pada 2020 akibat penularan COVID-19 -- paling rendah sejak 1987 (323) -- penganjuran perlawanan mula pulih secara berperingkat tahun ini dengan kempen kelayakan Piala Dunia antara yang mencuri tumpuan.
Sebanyak 1,116 perlawanan antarabangsa telah dimainkan sepanjang 2021 -- satu rekod baru dalam usaha pasukan menebus ketiadaan aksi pada setahun sebelumnya.
Iklan
Walaupun kekerapan permainan berubah dengan ketara, namun satu yang masih kekal ialah Belgium sekali lagi mendahului carta apabila mengetepikan Brazil dengan 2.1 mata, sementara penyandang gelaran Liga Negara-Negara Eropah (UNL), Perancis, menamatkan tahun ini di tangga ketiga.

Juara Eropah, Itali, pula bakal melangkah ke 2022 di tempat keenam selepas mengutip 115.77 mata tatkala juara Copa America, Argentina, memperbaiki kedudukan mereka selepas meraih 108.51 mata.
Begitupun, peningkatan terbesar tahun ini direkodkan oleh Kanada yang berada di tangga ke-40, ia adalah kedudukan tertinggi yang pernah mereka capai.
Skuad Canucks itu mara ke separuh akhir Piala Emas dan berada di landasan yang baik untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali kedua -– yang pertama sejak edisi Mexico 1986 -– selepas menduduki tangga teratas kelayakan CONCACAF dengan baki enam perlawanan.
Sementara itu, tuan rumah Piala Dunia, Qatar, menuju ke tahun penganjuran mereka dalam kelompok 50 teratas apabila berada di tempat ke-48.
Must-Watch Video