Skip to main content

Bola Sepak

Barisan pemain muda, senior mampu cetus kejayaan -- Norhafiz

norhafiz.jpg
Kapten skuad Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah,  yakin pasukannya akan tetap menyerlahkan saingan terbaik dalam Liga Perdana musim ini walaupun dibarisi sebahagian besar pemain yang terdiri daripada anak jati negeri itu.

Musim ini, skuad Negeri Sembilan akan dibarisi 80 peratus pemain muda daripada skuad Piala Presiden, namun Norhafiz menegaskan ia bukan penghalang buat mereka untuk meraih kejayaan ke Liga Super musim depan. 

Bekas pertahanan kebangsaan itu juga percaya pengendali pasukan, Mat Zan Mat Aris, akan berupaya menghasilkan pendekatan taktikal terbaik buat pasukan dalam memberikan cabaran buat pesaing lain dalam Liga Perdana.

"Insya-Allah, dengan apa yang saya nampak daripada pemain muda sedia ada serta gabungan bersama pemain senior, kami memiliki bakat dan akan membantu pasukan bagi musim ini untuk meraih kejayaan," katanya.

Sementara itu, pemain muda Negeri Sembilan, Danish Haziq Saipul Hisham, menyuarakan kesediaan bersaing dalam skuad utama musim ini dalam usaha menarik perhatian pengendali skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. 

"Semestinya saya akan tunjukkan aksi terbaik dalam latihan. Jika diberi peluang dalam perlawanan, saya akan jaga prestasi, bukan sahaja untuk Negeri Sembilan tetapi untuk skuad kebangsaan," ujarnya.

"Tahun ini saya menyasarkan untuk meraih panggilan skuad B-23 negara. Jika ada rezeki, saya akan cuba yang terbaik. Apa yang penting, saya perlu tampil cemerlang bersama Negeri Sembilan terlebih dahulu."

Advertisement

Must Watch Video