LaLiga dan kelabnya akan membantu mengumpul dana demi membantu mereka yang terjejas akibat banjir kilat yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 158 orang di Sepanyol.
LaLiga mahu mengumpul wang dengan menghebahkan kempen semasa siaran perlawanan hujung minggu ini dan melalui akaun media sosial mereka.
Selepas FA Sepanyol menangguhkan tujuh perlawanan Piala pertengahan minggu dan semua perlawanan yang dijadualkan untuk wilayah timur Valencia hujung minggu ini, ia meminta penganjur pertandingan untuk berdiam diri seminit sebelum perlawanan yang akan dimainkan sebagai penghormatan kepada mangsa.
"Bola sepak profesional Sepanyol menyertai ucapan takziah dan menyatakan solidaritinya dengan keluarga mangsa dan yang hilang," kata LaLiga dalam satu kenyataan semalam.
Real Madrid mengumumkan mereka juga akan bekerjasama dengan Red Cross dan menderma EURO1 juta (RM4.75 juta).
"Yayasan Real Madrid dan Red Cross hari ini telah melancarkan kempen mengumpul dana untuk menyokong mereka yang terjejas akibat ribut dan kelab telah memutuskan untuk menyokong kempen ini dengan derma sebanyak satu juta euro untuk membantu ramai keluarga yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan semua bantuan dan solidariti kami," kata juara Sepanyol itu dalam satu kenyataan.
Enam perlawanan Copa del Rey yang ditangguhkan telah dijadualkan semula untuk minggu depan, menjadikan perlawanan Real Sociedad menentang Jove Espanyol di Alicante sebagai satu-satunya perlawanan tanpa tarikh perlawanan baharu.
LaLiga meminta 10 kelab yang terjejas dalam dua divisyen teratas mengemukakan cadangan untuk tarikh baharu sebelum Selasa depan.
Perlawanan LaLiga Sabtu antara Valencia dan pelawat Real Madrid ditambah pertembungan Villarreal dengan Rayo Vallecano adalah antara perlawanan yang ditangguhkan, kerana Valencia menjadikan stadium Mestalla tersedia sebagai tempat menurunkan sumbangan makanan dan barangan keperluan.
Ammar Hakim
Fri Nov 01 2024