Status ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menjadi tanda tanya selepas tular video di laman TikTok oleh pengguna akaun yb_carlosbasri semalam yang menunjukkan premis tersebut kelihatan seolah-olah terbiar.

Video berdurasi hampir dua minit itu memperlihatkan keadaan bangunan ibu pejabat itu dipenuhi semak-samun dengan sampah dan air bertakung di beberapa tempat.

"Lihat bangunan tersergam indah siapa pemilik tidak menjadi persoalan yang penting kenapa kita tak uruskan bangunan ini dan boleh hidupkan sukan.

"...semak samun, bangunan cantik, kalau berfungsi tentu sekali tingkatkan mutu sukan negara kita...Putrajaya ada imej, bangunan jangan terbengkalai semua perlu 'up' dan berfungsi," katanya.

A post shared by YB Carlos (@ybcarlosbasri)



Ibu pejabat AFF merupakan sebahagian daripada 'Soccer City' Putrajaya dengan keluasan lebih 17 hektar yang turut melibatkan pemgabunan sebuah stadium bola sepak berkapasiti 10,000 penonton milik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pusat latihan skuad bola sepak kebangsaan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan AFF, yang memaklumkan persekutuan itu diberitahu bahawa pihak pemaju sedang menjalankan kerja-kerja pembetulan dan pembaikan pada bangunan tersebut.

"AFF menantikan penyerahan bangunan yang dijadual dilakukan pada beberapa bulan lagi."