Skip to main content

Bola Sepak

Allegri julang persembahan memukau Dybala

paulodybala-cropped_olzdlci20qcq10s5uksl3f41f.jpg
Massimiliano Allegri menjulang persembahan Paulo Dybala yang disifatkannya sebagai mustahil untuk dikekang pasukan lawan apabila meledak hatrik dalam kemenangan 3-1 Juventus ke atas Sassuolo, awal pagi tadi.

Juve telah pun memenangi kesemua empat aksi pembukaan Serie A musim ini, dengan Dybala menyumbat lapan daripada 13 gol dihasilkan.

Selepas sumbangan terbaru daripada pemain antarabangsa Argentina itu, Allegri memuji kemajuan yang dipamerkan pemain bintangnya.

"Dia masih ada ruang untuk diperbaiki tetapi ketika ini, dia sukar dikekang mana-mana pasukan," katanya.

"Dia semakin menghampiri status sebagai pemain berkelas dunia."

Sementara itu, pasangan penyerang Dyabala, Gonzalo Higuain, bergelut dengan aksinya setakat ini, namun masih mendapat sokongan daripada Allegri meskipun dikeluarkan pada minit ke-78.

"Higuain bermain dengan baik," tambahnya.

"Dia cuma memerlukan masa untuk pulih apabila kami beraksi setiap tiga hari.

"Saya memiliki penyerang mantap tetapi pemain gantian juga memainkan peranan besar. Berada di kelab besar, penting untuk menggunakan setiap pilihan yang ada.

"Perebutan kejuaraan liga memakan masa yang panjang."

Kemenangan ini amat bermakna buat Allegri dan Juve setelah tewas kepada Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara, Selasa lalu.

Meskipun mengutip tiga mata, Allegri mengenal pasti beberapa kelemahan yang harus diperbaiki.

"Kami bermain baik berdepan Barcelona tetapi hanya dalam babak pertama," katanya.

"Kami leka seketika selepas memberikan tentangan sengit terhadap Barcelona. Perkara sama berlaku ketika kami mendahului 2-0 ke atas Sassuolo."

Advertisement

Must Watch Video