Skip to main content

Bola Sepak

Allegri: Aksi Supercoppa persediaan terbaik hadapi aksi kalah mati UCL

allegri.jpg
Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, percaya pertembungan Supercoppa Italiana dengan AC Milan akan menjadi platform latihan untuk mereka menghadapi pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) sambil mengimpikan untuk menamatkan badi kehampaan dalam Supercoppa.

Skuad Bianconeri, yang mendahului perlumbaan kejuaraan Scudetto, bakal membuat perhitungan dengan kelab yang mereka tewaskan 4-0 dalam edisi final Coppa Italia musim lalu di Arab Saudi, awal pagi esok. 

Biarpun merangkul kedua-dua gelaran Serie A dan Coppa Italia dalam setiap tiga musim terdahulu, Juve gagal meraih kemenangan di pentas Supercoppa dalam tiga daripada empat tahun terakhir selain tumpas kepada Milan menerusi penentuan penalti pada 2016.

"Sukar untuk memikirkan mengapa kami tewas dalam kedua-dua penentuan penalti kepada Napoli dan Milan. Saya berharap esok akan berbeza dan kami lebih fokus," kata Allegri.

"Jurang di antara kedua-dua pasukan dalam saingan Serie A adalah 22 mata, namun faktor itu tidak penting di sini dan ia akan menjadi ujian getir buat kami. Kami mesti belajar bahawa aksi kalah mati adalah berbeza dengan situasi liga.

"Harapan utama kami adalah untuk mengelak daripada diheret untuk beraksi dalam masa tambahan. Kami mahu menyempurnakan tugas dalam tempoh 90 minit. Ini adalah amalan yang baik untuk bersedia menghadapi pusingan penyingkiran."

Juve akan menghadapi Atletico Madrid dalam pusingan 16 UCL tatkala mengintai untuk mengungguli gelaran itu sejak 1996.

Cristiano Ronaldo, yang menyertai Real Madrid dengan perpindahan bernilai €112 juta (RM525.3j) Julai lalu, telah menjulang trofi itu sebanyak lima kali dalam kariernya yang penuh bergemerlapan. 

Ketika ditanya apakah Ronaldo telah membawa mentaliti kemenangan ke dalam skuad Juve, Allegri menjawab: "Dia harus memenangi kejuaraan sulung untuk membuktikannya.

"Cristiano sudah terbiasa meraih kejuaraan, dia telah memenangi empat daripada lima gelaran UCL yang terakhir selain memenangi deretan trofi yang lain. 

"Ronaldo merupakan pemain terbaik di dunia dan bonus tambahan buat kami. Keadaan ini sudah pasti bertambah baik dengan kehadirannya meskipun Juve sudah pun memiliki penyerang yang hebat.

"Bagaimanapun, jangan lupa bahawa Juve telah beraksi dalam dua final UCL dalam tempoh empat tahun yang lalu dan kami menghadapi pasukan terbaik di dunia ketika itu. Apabila menghadapi pertandingan seperti itu, anda juga memerlukan tuah. 

"Scudetto adalah salah satu tumpuan kami sebagaimana Coppa Italia, Supercoppa dan UCL. Kami mahu memasuki penghujung musim ini dengan peluang memenangi sebanyak mungkin trofi," tambahnya.

Pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey, dilaporkan bersetuju untuk menyertai Juve pada akhir musim ini. Bagaimanapun, Allegri enggan bercakap mengenai pemain antarabangsa Wales itu.

"Saya tidak akan bercakap mengenai pasaran perpindahan kerana Ramsey adalah pemain Arsenal dan saya tidak boleh membincangkannya sama sekali," katanya. "Skuad Juventus dalam keadaan baik-baik saja."

Advertisement

Must Watch Video