Skip to main content

Bola Sepak

Akanni Sunday sedia kekal bersama UiTM FC

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wan-mustaffa-250517.jpg
Pengendali UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, mengakui menerima tawaran daripada beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk mendapatkan penyerang sensasinya, Akanni Sunday Wasiu.

Namun, menurutnya, penjaring terbanyak Liga Perdana itu telah menyatakan kesediaan untuk terus menabur khidmat bersama UiTM FC sehingga tamat musim ini.

Selain Akanni Sunday, 33, tiga lagi tonggak import, Dechi Marcel N’Guessan, Do Dong-hyun dan Onorionde Kughegbe turut bersetuju untuk menghormati kontrak mereka.

“Keempat-empat mereka akan dikekalkan, malah mengakui cukup gembira beraksi bersama pasukan ini.

“Mereka sangat profesional dan berjanji untuk membantu UiTM bangkit dalam baki saingan liga dan Piala Malaysia kelak,” tambahnya.

Wan Mustaffa berkata demikian selepas kekalahan 2-1 kepada Terengganu di Kuala Terengganu, malam tadi, yang menyaksikan Akanni Sunday menjaringkan gol ke-13 musim ini.

Menguasai sebahagian besar perlawanan, UiTM bagaimanapun buntu mencuri mata dan Wan Mustaffa berazam memperbaiki kelemahan pasukannya untuk terus bersaing dengan pasukan atasan.

“Kami masih di landasan tepat di kedudukan lima teratas dan hanya tewas dua kali, masih ada masa untuk mempamerkan kebangkitan,” katanya.

Bagi penolong jurulatih Terengganu, Mohd Nafuzi Zain, disiplin yang ditunjukkan pasukannya memainkan peranan dalam menafikan kebangkitan pasukan lawan.

Mengakui pasukannya turun dengan skuad yang agak tempang, kejayaan mengutip tiga mata cukup penting tatkala pendahulu liga, Negeri Sembilan, sekadar mencatat keputusan seri.

“Tempo permainan berpihak kepada pasukan lawan, namun pemain-pemain beraksi dengan baik untuk mempertahankan kedudukan 2-1,” ujarnya.

Terengganu kini melonjak ke tangga kedua dengan 27 mata daripada 13 perlawanan, dua mata di belakang Negeri Sembilan manakala UiTM di tangga kelima hasil kutipan 21 mata.

 

Advertisement

Must Watch Video