Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Andoni Zubiaurre, mendedahkan rahsia di sebalik kemampuan di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) biarpun kurang minit permainan.
Khidmat penjaga gol kelahiran Sepanyol berusia 27 tahun itu tidak digunakan dalam saingan domestik dan hanya dipertaruhkan untuk kejohanan antarabangsa.
Dan untuk empat penampilan bersama Harimau Selatan, Zubiaurre dua kali tanpa dibolosi termasuk ketika membantu pasukannya menewaskan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan HD, 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
"Bukan mudah untuk tidak dibolosi dalam saingan ACLE, namun kami dapat mengharungi perlawanan dengan baik.
"Kami saling mempercayai. Ia faktor penting yang memberikan kami keyakinan.
"Ini membuktikan pasukan beraksi dengan baik. Apabila rakan sepasukan bekerja keras maka saya tidak perlu banyak bertindak," katanya di Nadi Arena.
Zubiaurre menyertai JDT musim ini daripada kelab devisyen dua liga Sepanyol, CD Eldense, dan kehadirannya ditagih untuk membantu JDT melakar sejarah di pentas Asia.
Selepas mengharungi empat perlawanan, JDT kini menghuni kedudukan keempat Kumpulan A menerusi dua kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan.
Shaiful Shamsudin
Thu Nov 07 2024