ACLE
ACLE: Alvaro Gonzalez wira JDT tumbangkan 10 pemain Central Coast Mariners
CENTRAL COAST MARINERS 1 JOHOR DARUL TA'ZIM 2
Johor Darul Ta'zim (JDT) kian menghampiri kelayakan ke pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila menumbangkan 10 pemain Central Coast Mariners 2-1 dalam aksi kedua terakhir peringkat kumpulan di New South Wales sebentar tadi.
Bagaimanapun, Harimau Selatan jelas bergelut menghasilkan jaringan dalam perlawanan kali ini sebelum tonggak pertahanan baru, Alvaro Gonzalez, muncul wira dengan jaringan berganda.
Iklan
JDT berdepan kebuntuan jaringan dalam separuh masa pertama, terutama selepas perancang baru, Roque Mesa, terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-23 gara-gara kecederaan.
Malang menimpa Central Coast apabila penjaga golnya, Dylan Peraic-Cullen, dilayangkan kad merah berikutan tindakannya mengasari Arif Aiman Hanapi di luar kotak penalti dalam waktu kecederaan.
Biarpun berkelebihan seorang pemain, JDT masih tidak dapat memecahkan tembok ampuh tuan rumah sehinggalah Gonzalez berhasil menemui lintangan Arif Aiman sebelum melakukan penyudah leret ke penjuru kanan bawah gawang Central Coast pada minit ke-64.
Tuan rumah kemudian memberikan reaksi segera berselang enam minit untuk Alou Kuol menjaringkan gol penyamaan, yang disahkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
Namun, Gonzalez sekali lagi memainkan peranan penting pada minit ke-79, kali ini dengan menanduk masuk gol kemenangan pelawat selepas menerima umpanan cantik Heberty Fernandes.
Dengan kemenangan itu, JDT kini menduduki tangga kelima Liga Bahagian Timur ACLE dengan 11 mata daripada tujuh perlawanan.
Central Coast, dalam pada itu, terus terperosok di tangga terbawah dengan hanya satu mata setakat ini.
Sebagai rekod, lapan pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua.
Must-Watch Video