Tonggak tengah import Selangor, Nikola Jambor, nyata kecewa apabila gagal membantu pasukannya mencetak kemenangan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di laman sendiri, malam tadi.

Sedar situasi kian sukar buat Gergasi Merah untuk layak ke pusingan seterusnya, pemain kelahiran Croatia itu berharap nasib akan memihak mereka dalam perhitungan terakhir Kumpulan H bertemu Dynamic Herb Cebu di tempat lawan, Khamis depan.

"Kami mencipta banyak peluang, saya tidak terkira berapa banyak percubaan kami yang mengenai tiang.

"Kami pula melepaskan dua gol daripada situasi bola mati. Ia sudah terjadi jadi kami perlu perbaikinya. Kami kini perlu bergantung kepada nasib pasukan lain.





"Kami hanya perlu tumpu untuk menang sahaja ke atas Cebu sambil mengharapkan nasib perlawanan lain memihak kami," katanya selepas perlawanan.

Jambor percaya kekalahan kepada Muangthong itu mampu dijadikan pengajaran berguna buat dia dan rakan sepasukan sambil menegaskan bahawa mereka perlu segera bangkit memperbaiki segala kelemahan yang ada menjelang perlawanan Unifi Piala Malaysia bertemu Sri Pahang di Stadium MBPJ, Ahad ini.

"Kami akan mengharungi banyak perlawanan dalam tempoh singkat ini, tiada ruang untuk melakukan persiapan rapi.

"Apa pun saya yakin kami akan bangkit," katanya.