Penyokong pasukan Merah Kuning bakal menerima khabar gembira apabila pemain import terbaharu mereka, Nikola Jambor tersenarai dalam 20 pemain bertemu DH Cebu FC malam ini.

Perkhabaran itu dimaklumkan pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil dalam satu sidang media pra-perlawanan semalam.

Dalam kenyataannya, besar kemungkinan untuk melihat Nikola Jambor diturunkan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 menentang DH Cebu FC malam ini, namun beliau juga harus meneliti sebarang keputusan yang akan diambilnya.

"Beliau (Nikola Jambor) telah kemarau aksi kompetitif sejak 3-4 bulan yang lalu, dan beliau hanya menyertai kami dalam tempoh 2 minggu."

"Beliau menunjukkan perkembangan yang bagus, namun kami juga tidak mahu mengambil risiko dengan menyenaraikan beliau dalam kesebelasan utama secara tergesa-gesa. Kita akan lihat bagaimana, mungkin memasukkan beliau dalam 15-20 minit terakhir perlawanan." ujar Nidzam.

"Apa yang saya boleh sahkan, beliau akan tersenarai dalam 20 pemain untuk perlawanan esok (malam ini)."

Terdahulu, Selangor FC mengumumkan ketibaan pemain import kelahiran Croatia, Nikola Jambor bagi saingan Liga Super Malaysia & Liga Juara-Juara Asia 2 musim ini.