Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil, meletakkan jangkaan tinggi buat Selangor dalam aksi berdepan Dynamic Herb Cebu memandangkan mereka mempunyai rekod baik ketika beraksi di laman sendiri menjelang aksi kedua Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, esok.
Jurulatih berusia 44 tahun itu optimis pasukan kendaliannya berada dalam momentum terbaik memulakan kempen di pentas Asia selepas seri berdepan wakil Thailand, Muangthong United dalam perlawanan pembukaan sebelum ini.
Nidzam turut memandang positif dengan kemenangan satu lagi wakil Malaysia di pentas Asia, Johor Darul Ta'zim (JDT), semalam dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit selepas menewaskan Shanghai Shenhua 3:0.
"Saya anggap kami sebagai pasukan baru setelah sekian lama tidak beraksi di pentas Asia, kami seri berdepan Muangthong sebelum ini dan saya rasa ia permulaan baik. Selangor mempunyai momentum dan kami memandang kehadapan untuk meraih keputusan terbaik.
"Jangkaan kami tinggi kerana beraksi di laman sendiri, dan kami mempunyai rekod baik beraksi di MBPJ. Motivasi pasukan baik, perlawanan esok berbeza kerana ini saingan peringkat Asia.
"Kami perlu beri aksi terbaik, walaupun pasukan lawan tewas dalam aksi pertama tetapi kami tidak memandang rendah kepada mereka.
"Ia petanda yang positif buat pasukan dari Malaysia meraih keputusan yang baik di pentas Asia. Kami turut gembira dengan kemenangan JDT. Saya rasa tidak adil jika mengatakan kami dalam tekanan sekiranya pasukan lain meraih kemenangan." katanya dalam sidang media pra perlawanan hari ini.
Saufi Tahir
Wed Oct 02 2024