Skip to main content

Bola Sepak

Abu Bakar puji persembahan Amin Faisal

abu-bakar-fadzim_4.jpg
Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menjulang persembahan penjaga gol muda, Amin Faisal Mohd Saidi, selepas menyaksikan pasukannya terikat seri tanpa jaringan berdepan Negeri Sembilan dalam aksi Kumpulan A, malam tadi.

PKNP bertandang ke Paroi dalam aksi terakhir kumpulan tatkala sudah pun mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia.

Penjaga gol berusia 20 tahun itu bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan pasukan tuan rumah, terutama dalam babak pertama.

Keputusan itu meletakkan PKNP mara ke suku akhir menemani Pahang, Selangor, Kedah, Perak, Johor Darul Ta'zim dan Felda United.

Abu Bakar mengakui Negeri Sembilan menghadirkan tekanan yang tinggi, lantas mengganggu fokus anak buahnya dalam babak pertama.

"Negeri Sembilan banyak memberi tekanan kepada kami hingga menyukarkan pemain untuk menyesuaikan diri dengan perlawanan dalam tempoh 45 minit pertama.

"Tambahan pula kami terpaksa menurunkan penjaga gol muda. Dia memainkan peranan besar malam ini (malam tadi), jadi saya mahu mengucapkan tahniah kepadanya," jelas Abu Bakar.

Sementara itu, pengendali skuad Jang, Asri Ninggal, tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya tatkala anak buahnya mensia-siakan peluang yang terhidang.

"Kami mencipta peluang tetapi kami gagal menjaringkan gol. Senario itu banyak memberi kesan negatif kepada pemain.

"Kami kecewa kerana diikutkan kami mencipta banyak peluang, terutama dalam babak pertama berbanding PKNP," ujar Asri.


 

Advertisement

Must Watch Video