SEPANYOL 2 JERMAN 1
(Selepas masa tambahan)

Jerman akan menjadi penonton bagi baki saingan Euro 2024 di laman sendiri apabila disingkirkan Sepanyol dengan kekalahan 1-2 selepas 120 minit aksi suku akhir di Stuttgart sebentar tadi.

Mikel Merino muncul Wira La Roja apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan itu pada minit terakhir masa tambahan.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi menarik dengan saling berbalas serangan tetapi dikecewakan dengan sentuhan terakhir untuk memecahkan keampuhan benteng lawan sepanjang babak pertama.

Sepanyol memperoleh peluang seawal minit ke-17 apabila Lamine Yamal memulakan larian di sebelah kanan sebelum melakukan hantaran ke arah Fabian Ruiz, yang percubaannya melewati palang gol.

Jerman kemudian hanya memerlukan empat minit untuk merencanakan serangan balas tetapi gerakan licik Ilkay Gundogan menggerakkan bola ke arah Joshua Kimmich disudahkan dengan percubaan Kai Havertz yang tepat menuju ke arah penjaga gol, Unai Simon.

Sepanyol sekali lagi memperoleh peluang pada minit ke-39 apabila pemain gantian, Dani Olmo, melakukan larian pantas dan melepaskan percubaan rendah tetapi Manuel Neuer ternyata sudah bersedia untuk menafikan jaringan berkenaan.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 45 minit pertama, Olmo meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-51 dengan menyudahkan hantaran Lamine Yamal ke gawang Neuer.

Ketika perjuangan pasukan tuan rumah itu seakan-akan sudah berada di hujung tanduk, Florian Wirtz memastikan masih ada sisa perjuangan yang perlu diteruskan skuad bimbingan Julian Nagelsmann berkenaan apabila bijak menghidu hantaran tandukan Joshua Kimmich sebelum melepaskan penyudah rendah menewaskan Simon, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Suhu perlawanan kekal hangat sepanjang masa tambahan dan pada ketika ia akan dibawa ke penentuan penalti, Merino memastikan kemenangan pasukannya dengan menanduk masuk lintangan Olmo pada minit ke-120.

Sepanyol seterusnya akan menantikan pemenang di antara Portugal dan Perancis bagi penentuan ke final.