Zlatko Dalic memohon maaf atas persembahan buruk Croatia ketika membuka kempen EURO 2024 menentang Sepanyol, sebentar tadi, sambil ketua jurulatih La Roja, Luis de la Fuente, memuji bintang remaja Lamine Yamal.

Sepanyol yang membenam Croatia 3-0 kembali membuka kejohanan Eropah itu berbekalkan kemenangan tiga gol buat kali kedua selepas turut membelasah Russia 4-1 dalam edisi 2008.

Alvaro Morata, Fabian Ruiz dan Dani Carvajal kesemuanya mencetak jaringan dalam separuh masa pertama, sementara gol lewat Bruno Petkovic hasil daripada bola muntah sepakan penaltinya sendiri dibatalkan oleh pengadil.

Keputusan itu menandakan kekalahan terbesarnya sepanjang mengendalikan Croatia dalam kejohanan antarabangsa utama. Kali terakhir mereka diaibkan 0-3 ialah ketika menentang Portugal dalam EURO 1996 dan Argentina dalam Piala Dunia 2022.

Dalic hanya mampu memohon maaf kepada peminat Croatia berikutan aksi Kumpulan B yang kurang memberangsangkan di Berlin itu.

“Mereka mencipta suasana yang hebat,” kata ketua jurulatih berusia 57 tahun itu.




“Saya minta maaf atas persembahan buruk ini hari ini. Kami tidak cukup agresif.

"Saya harap ini hanya hari yang buruk."