'Tiada komen, memang ada bincang pasal Piala Thomas dan nanti akan diumumkan,' itulah reaksi pemenang gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia selepas kira-kira satu jam mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lee Chong Wei dan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Lelaki Negara, Kenneth Jonassen hari ini.
Chong Wei menyifatkan pertemuan tersebut sebagai positif, malah mendedahkan bekas juara Seluruh England itu meminta tempoh seminggu untuk membuat keputusan muktamad berhubung penyertaannya bersama skuad negara.
Advertisement
Zii Jia mencetus kejutan apabila hadir ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara bagi membincangkan jemputan berlatih bersama pasukan Piala Thomas menjelang kejohanan yang bakal berlangsung di Horsens, Denmark pada April ini.
Dia turut diiringi jurulatih peribadinya, Liew Daren serta perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei yang juga dijemput membantu skuad wanita menjelang saingan Uber Cup.
Menurut Chong Wei, sebarang terma dan syarat penyertaan masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan. Namun beliau menegaskan pintu skuad negara sentiasa terbuka buat Zii Jia untuk kembali menyarung jersi Malaysia di pentas Piala Thomas.
"Kami berharap Zii Jia akan kembali pulih sepenuhnya selepas mengambil langkah untuk menarik diri daripada Terbuka Jerman dan bermain di Terbuka Switzerland. Saya turut berharap dia akan menjaga dirinya sepanjang proses pemulihan ini," kata Chong Wei.
Pengalaman luas serta reputasi antarabangsa dimiliki Zii Jia dilihat mampu menyuntik semangat dan keyakinan tambahan kepada rakan sepasukan, terutama dalam misi memburu kejayaan di Denmark.
Kini, segala perhatian terarah kepada keputusan yang bakal diumumkan dalam masa terdekat — sama ada jaguh perseorangan itu kembali memimpin cabaran Malaysia di pentas berpasukan paling berprestij dunia.
"Selepas berbincang dengan Kenneth, kehadiran Zii Jia akan meningkatkan lagi mutu pasukan," tambahnya lagi.