Bukan sahaja mengungguli saingan pecut individu bawah 19 tahun, pelumba berbasikal trek pelapis kebangsaan, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak, turut muncul sebagai ratu keirin Siri Trek YSD 2026.
Dalam tahun terakhirnya bersama skuad pelapis sebelum ke skuad elit, Nur Umairah mengakui kejayaan di Velodrom Nasional, Nilai hari ini juga ditujukan buat ketua jurulatihnya, Hermann Terryn, yang akan meninggalkan kem negara hujung bulan ini.
Advertisement
Dua emas untuk acara individu serta pecut berpasukan dalam Siri Trek YSD 2026 ini sudah cukup membuktikan Nur Umairah antara permata negara selepas menumpaskan lawan hebat dari New Zealand dan Australia.
Di tengah kegembiraannya, Nur umairah menyimpan kesedihan apabila ini adalah bulan perpisahan dengan ketua jurulatihnya itu sebelum dia sendiri beralit ke skuad elit pada 2027.
"Kami mengadakan perbincangan untuk taktikal perlumbaan ini untuk diperbaiki dalam kejohanan itu.
"Dia menjaga segala aspek kebajikan kami dan dia seorang jurulatih yang terbaik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
Prestasi menakjubkan Nur Umairah ini juga menobatkan dirinya sebagai juara keseluruhan Siri Trek YSD 2026 B-19 tahun, sekali gus menjadi tonik terbaik buatnya fokus ke kejohanan kebangsaan sebelum Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia di Belgium mengambil tempat pada Ogos depan.
"Hari ini merupakan perlumbaan terakhir jadi saya bertekad memberikan kayuhan terbaik hinggakan malam tadi saya tidak lalu makan dan sukar untuk tidur.
"Sasaran saya selepas ini pula adalah kejohanan kebangsaan," katanya.