Skip to main content

Bola Sepak

Xisco Munoz cipta sejarah tersendiri, JDT terus ledak rekod sempurna

Munoz

Bagaikan langit dan bumi -- perumpamaan yang tepat menggambarkan kualiti dan kesempurnaan Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku penyandang juara Liga Super ke-12 berturut-turut berbanding pasukan pelawat, PDRM, selaku pasukan tercorot.

Sejak penjenamaan semula Harimau Selatan pada 2014, belum pernah ada jurulatih yang berjaya melakar rekod kemenangan sempurna sepanjang musim, namun sensasi taktikal moden Xisco Munoz kini memecah kebuntuan itu.

Advertisement

Pengendali kelahiran Sepanyol itu muncul jurulatih pertama dalam sejarah kelab gergasi tanah air itu yang berjaya membimbing JDT dengan rekod bersih tanpa kalah dan seri, sekali gus mengukuhkan reputasi Harimau Selatan sebagai antara kelab elit Asia.

Lebih manis, JDT turun beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) buat kali pertama dengan status juara Liga Super musim ini, menghadiahkan penyokong setia persembahan penuh dominasi dengan membelasah PDRM 7-0, pada perlawanan semalam.

Tiga gol awal Harimau Selatan terhasil menerusi penyudah tajam Yago Cesar sebelum diikuti gol bergaya Nacho Mendez dan Stuart Wilkin di mana pesta gol jaguh Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dimulakan selepas itu.

Babak kedua menyaksikan Wilkin sekali lagi terus berbisa di hadapan gawang apabila menambah jaringan peribadi, sebelum Jairo da Silva dan Bergson da Silva melengkapkan dominasi total JDT dalam aksi luar biasa itu.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan JDT merekodkan kemenangan ke-20 berturut-turut musim ini, sekali gus muncul satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod sempurna dalam saingan liga.

“Ini adalah tahap sebenar JDT. Setiap hari semakin sukar untuk mencipta sejarah baharu, namun kami dapat melakukannya secara konsisten.

“Saya bangga dengan karakter permainan, cita-cita dan nilai yang sentiasa ditunjukkan oleh para pemain dalam pasukan.

“Kami masih perlu memperbaiki banyak perkara dan terus bekerja keras menjelang fasa terakhir musim ini.

“Kami perlu fokus kepada kejohanan seterusnya, saingan liga berikutnya serta bagaimana untuk terus meningkatkan prestasi setiap hari kerana kami membawa imej negara,” katanya.

Must Watch Video