Pemain berdarah Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal, dilaporkan akan dipinjamkan terlebih dahulu ke kelab Liga A1 Semi-Pro, UM-Damansara United.
Semalam, Nadi Arena melaporkan pemain tengah berusia 23 tahun itu sudah pun mengikat kesepakatan dengan Negeri Sembilan, di mana ketua jurulatih The Jang, Nidzam Jamil, mengesahkan ia merupakan sebahagian daripada projek jangka panjang mereka.
Advertisement
Terbaru, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, melaporkan adik kepada Wan Kuzain Wan Kamal itu akan dipinjamkan dahulu ke UM-Damansara bagi tempoh enam bulan ini untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran bola sepak Malaysia.
Sebagai rekod, Wan Kuzri, yang pernah dipanggil menyertai kem latihan skuad B-19 negara pada 2020, merupakan pemain yang mewakili pasukan University of Akron, Akron Zips, tahun lalu.
Dia juga merupakan adik kepada pemain yang hangat diperkatakan untuk menyarung jersi Harimau Malaya, Wan Kuzain.