Kemenangan Kuching City dalam separuh akhir Piala FA di Stadium Taha Ariffin malam tadi dicemari dengan insiden kontroversi apabila berlaku pergaduhan di tepi padang selepas tamat perlawanan.
Kekecohan itu melibatkan para pemain dan barisan kejurulatihan, dengan ada dakwaan provokasi namun belum dipastikan apakah punca sebenar.
Situasi semakin memuncak di bangku simpanan dan mendorong Izwan Abdullah melayangkan kad merah ke atas jurulatih kecergasan Selangor, Joel Dones.
Media sosial mula bergegar apabila peminat tempatan mula berkongsikan kejadian tersebut dengan pelbagai pandangan peribadi.
Gergasi Merah -- yang membawa bekalan agregat 2-1 bertandang ke Sarawak -- menghadirkan ancaman pada awal permainan, namun segala harapan itu punah apabila tumpas 0-2 melalui sepakan penalti Safawi Rasid dan jaringan sendiri Mukhairi Ajmal Mahadi.
Bahang perlawanan kian hangat apabila penyerang berbisa skuad kendalian Kim Pan-gon, Chrigor Moraes, dikasari dua kali tetapi pihak lawan terlepas daripada sebarang hukuman.
Apa pun, tindakan pengadil perlawanan, Izwan Abdullah, yang menghadiahkan sepakan penalti yang kemudian disudahkan oleh Safawi Rasid mengundang persoalan, memandangkan Harith Haiqal Adam Afkar terlebih dahulu mengeluarkan bola dari kawasan bahaya tatkala cuba diterkam penyerang Kuching, Jerome Etame.
Tanpa sebarang jaringan tambahan lagi, maka permainan sebenar dilanjutkan 30 minit lagi sebelum kesilapan Mukhairi Ajmal yang tertampan bola ke gawang sendiri pada saat-saat detik.