Skip to main content

Bola Sepak

VAR jadi 'duri dalam daging', harapan Wrexham tumpaskan Chelsea musnah

VAR jadi 'duri dalam daging', harapan Wrexham tumpaskan Chelsea musnah

Harapan Wrexham untuk mencipta kejutan dalam saingan Piala FA Inggeris berkecai selepas dua keputusan penting Video Bantuan Pengadil (VAR) lebih memihak Chelsea.

Dalam perlawanan penuh dramatik di Racecourse Ground, teknologi VAR pertama kali digunakan di stadium berusia 162 tahun itu, dan jelas ia terus memberi realiti pahit kepada tuan rumah.

Advertisement

Insiden pertama berlaku apabila kad kuning pemain Wrexham, George Dobson, ditukar kepada kad merah selepas semakan VAR, sehingga memaksa pasukannya beraksi dengan 10 pemain.

Lebih menyakitkan, gol penyamaan Wrexham pada penghujung permainan turut dibatalkan kerana Lewis Brunt didapati berada sedikit dalam kedudukan ofsaid ketika menyambut tandukan Kieffer Moore.

Penyerang Wrexham, Sam Smith, mengakui pasukannya melalui emosi yang bercampur-baur dalam tempoh singkat ketika di atas padang.

“Kami mengalami detik gembira dan kecewa dalam masa yang sangat singkat, dan akhirnya VAR tidak memihak kepada kami.

“Ini pengalaman pertama kami berdepan VAR dan harap ia yang terakhir sehingga musim depan,” katanya.

Pengurus Wrexham, Phil Parkinson, turut meluahkan kekecewaan terhadap keputusan VAR dalam perlawanan itu.

“Tanpa VAR, pemain kami tidak akan dilayangkan kad merah dan gol itu hampir pasti dikira.

“Ia pengalaman pertama saya dengan VAR dan saya fikir pengadil sebenarnya berada di posisi yang baik untuk membuat keputusan ketika insiden itu berlaku,” katanya.

Biarpun kecewa dengan keputusan perlawanan, Parkinson tetap berbangga dengan semangat juang anak buahnya.

“Saya sentiasa mahu pasukan saya mencerminkan semangat bandar Wrexham supaya orang tahu apa yang Wrexham perjuangkan.

“Malam ini kami berjaya melakukannya dan itu sangat penting,” katanya lagi.

Bekas pemain England yang juga seorang penganalisis bola sepak, Micah Richards, juga berpendapat keputusan ofsaid itu memang sukar untuk diterima.

“Gol seperti itu memang tidak mahu kita lihat dibatalkan. Kita bercakap tentang perbezaan beberapa inci sahaja,” katanya.

Selepas aksi penuh drama itu, Wrexham kini perlu kembali memberi tumpuan kepada saingan liga dengan perlawanan penting menentang Hull City dan Wales derby menentang Swansea City.

Topik Berkaitan

Must Watch Video