Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, mengakui penamat di kedudukan lima terbaik Liga Perdana Inggeris sudah cukup untuk dianggap sebagai pencapaian memuaskan musim ini.
Pengakuan itu dibuat dalam nota program perlawanan menjelang aksi menentang Crystal Palace di Anfield, dengan beliau menegaskan fokus utama kini adalah untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara.
Advertisement
Menurut Van Dijk, musim ini tidak berjalan seperti yang dirancang oleh pasukan, namun keutamaan kini adalah menamatkan kempen dengan positif.
“Kami tahu ini bukan musim yang kami bayangkan, tetapi sekarang matlamatnya jelas -- layak ke Liga Juara-Juara. Tiada alasan lagi,” katanya.
Kemenangan ke atas Crystal Palace dilihat penting untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok lima terbaik, sekali gus membuka laluan ke pentas elit Eropah musim depan.
Van Dijk turut mengimbas kemenangan dramatik ke atas Everton dalam aksi derby Merseyside minggu lalu yang disifatkannya sebagai detik penting buat pasukan.
“Tiada perasaan yang lebih baik daripada memenangi derby, lebih-lebih lagi di tempat lawan dan dengan jaringan lewat. Ia sangat bermakna,” jelasnya.
Kemenangan itu bukan sahaja memberi tiga mata berharga, malah menjadi pemangkin keyakinan menjelang baki saingan musim ini.
Dalam masa sama, pertahanan berpengalaman itu turut menghargai sokongan berterusan penyokong Liverpool walaupun prestasi pasukan tidak konsisten kebelakangan ini.
Van Dijk menegaskan seluruh skuad bertekad untuk membalas kepercayaan penyokong dengan aksi lebih baik di atas padang.
Walaupun sasaran awal musim mungkin tersasar, Liverpool kini berdepan realiti baharu -- memburu tempat dalam kelompok lima terbaik.
Dengan baki perlawanan yang semakin kritikal, setiap mata menjadi penentu, dan seperti ditegaskan Van Dijk, tiada ruang lagi untuk kesilapan.