Penganjuran Malaysia Ultra-Trail (UTMB) Edisi Ketiga terus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara larian trail berprestij, bukan sahaja di peringkat tempatan malah antarabangsa.
Pengarah Malaysia Ultra-Trail, Ewegene Tan, mengesahkan kejohanan kali ini menyaksikan penyertaan hampir 2,900 pelari dari 56 buah negara.
Kehadiran ribuan peserta tempatan dan luar negara bukan sahaja menghangatkan saingan, malah menjadi platform terbaik mempromosikan Taiping sebagai destinasi sukan dan pelancongan warisan dunia.
Menjadikan Taiping sebagai lokasi rasmi, kejohanan ini merupakan satu-satunya siri kelayakan ke UTMB World Series Finals di Malaysia, sekali gus memudahkan atlet tempatan untuk mengumpul mata kelayakan tanpa ke luar negara.
Faktor cuaca dan indeks kualiti udara turut dipantau rapat sejak awal minggu, selain jangkaan cuaca redup dan peratusan hujan yang rendah, pihak penganjur memberi lampu hijau untuk perlumbaan berjalan lancar mengikut jadual.
"Ini merupakan satu-satunya perlumbaan kelayakan ke peringkat akhir UTMB World Series di Malaysia.
"Jadi, rakyat Malaysia tidak perlu ke luar negara untuk melayakkan diri.
"Bagi peserta antarabangsa pula, mereka boleh datang ke Taiping, menikmati atau mengenali bandar bersejarah kami serta menikmati hidangan yang terdapat di sini," kata Ewegene.