Skip to main content

Bola Sepak

Universiti Sukan Malaysia tiada manfaat dan syok sendiri: Mitos atau realiti?

DDD
Advertisement

Cadangan penubuhan Universiti Sukan Malaysia mungkin dianggap oleh sesetengah pihak sebagai suatu gagasan yang tidak mendesak, tidak memberikan manfaat atau sekadar memenuhi kepentingan kelompok tertentu. Malah, tidak mustahil terdapat pandangan yang menganggap cadangan tersebut sebagai suatu bentuk keghairahan akademik atau agenda yang bersifat syok sendiri tanpa ilmu. 

Namun demikian, dalam tradisi keilmuan, sesuatu cadangan dasar negara tidak sewajarnya dinilai berdasarkan persepsi, sentimen atau tanggapan peribadi semata-mata. Sebaliknya, penilaian perlu berpaksikan bukti empirikal, analisis keperluan negara, perbandingan antarabangsa, kebolehlaksanaan dan potensi pulangan pelaburan jangka masa panjang. 

Advertisement

Mereka yang mencadangkan penubuhan Universiti Sukan Malaysia tidak semestinya didorong oleh kepentingan peribadi semata, sebaliknya mungkin melihat jurang pembangunan sukan yang perlu ditangani secara sistematik. Persoalan yang lebih penting sejauh mana cadangan itu mampu memecahkan kebuntuan yang ada seperti emas olimpik pertama negara serta menyelesaikan permasalahan sebenar dalam ekosistem sukan negara. 

Dalam konteks ini, perbezaan pandangan perlu diraikan melalui perbahasan ilmiah yang matang, bukannya dipatahkan dengan label yang boleh menutup ruang pemikiran kritis. Penubuhan universiti khusus dalam bidang sukan bukanlah suatu eksperimen pendidikan yang tidak mempunyai asas atau rujukan antarabangsa. Negara seperti Jerman, China dan Jepun telah lama membangunkan institusi pendidikan tinggi yang memberikan tumpuan khusus kepada sains sukan, pendidikan jasmani, kejurulatihan, perubatan sukan, biomekanik, teknologi prestasi manusia dan pengurusan industri sukan. 

Advertisement

Antaranya ialah German Sport University Cologne, Beijing Sport University dan Nippon Sport Science University. Kewujudan institusi ini membuktikan bahawa pendidikan tinggi berteraskan sukan merupakan satu bidang pengkhususan akademik yang diiktiraf dan mempunyai ekosistem penyelidikan tersendiri.

Walau bagaimanapun, kejayaan sukan sesebuah negara tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan kewujudan universiti sukan semata-mata kerana faktor pembiayaan, budaya sukan, sistem pembangunan bakat dan tadbir urus sukan turut memainkan peranan penting. Justeru, Malaysia tidak perlu meniru model luar negara secara membuta tuli, tetapi wajar mempelajari bagaimana institusi khusus tersebut mengintegrasikan pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan atlet sukan dalam satu ekosistem yang bersepadu dan sistematik. Salah satu hujah yang wajar diberikan perhatian ialah cabaran atlet kebangsaan yang berusaha mengimbangi tuntutan pengajian tinggi dengan komitmen latihan dan pertandingan antarabangsa. 

Atlet yang terlibat dalam persediaan Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Sukan Olimpik mungkin memerlukan tempoh latihan pusat yang panjang, perjalanan antarabangsa serta penyesuaian jadual akademik yang tidak semestinya selari dengan kalendar semester konvensional. Walaupun terdapat universiti tempatan yang telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada atlet, tahap fleksibiliti akademik, kemudahan latihan dan penyelarasan antara institusi boleh berbeza mengikut dasar serta sumber masing-masing. 

Universiti Sukan Malaysia berpotensi menawarkan model pendidikan yang lebih khusus melalui pembelajaran hibrid, sistem kredit modular, penjadualan akademik fleksibel, sokongan pembelajaran ketika pertandingan. perancangan pengajian jangka masa panjang dan sistem pengajian yang mengutamakan penilaian berterusan tanpa peperiksaan akhir. 

Pendekatan ini bukan bermaksud memberikan keistimewaan akademik tanpa merit kepada atlet, tetapi memastikan mereka mempunyai peluang pendidikan yang adil tanpa perlu memilih antara citacita akademik dengan tanggungjawab mewakili negara. Atlet yang berjuang membawa Jalur Gemilang sewajarnya mendapat laluan pendidikan yang terancang supaya kejayaan dalam arena sukan tidak dibayar dengan pengorbanan masa depan akademik mereka. Bukti nyata, memang jelas ada atlet negara yang gagal menamatkan pengajian di Universiti atas komitmen sukan negara. 

Dalam era sukan berprestasi tinggi, kejayaan atlet bukan lagi bergantung kepada bakat semula jadi, semangat juang dan jumlah latihan semata-mata. Prestasi sukan moden semakin dipengaruhi oleh aplikasi fisiologi senaman, biomekanik, biokimia sukan, psikologi prestasi, analisis data, kecerdasan buatan, teknologi peranti boleh pakai, pemakanan sukan serta strategi pencegahan kecederaan dan rehabilitasi sukan. 

Oleh itu, cadangan Universiti Sukan Malaysia perlu dilihat sebagai usaha membangunkan pusat kecemerlangan ilmu dan inovasi, bukannya sekadar membina kampus yang mempunyai stadium, padang dan gimnasium. Bayangkan sebuah ekosistem yang menghubungkan makmal fisiologi dan biokimia sukan, makmal biomekanik, pusat perubatan sukan, makmal kekuatan dan suaian fizikal, pusat teknologi serta kecerdasan buatan dengan kemudahan latihan atlet berprestasi tinggi.

Melalui kerjasama strategik bersama Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negara, persatuan sukan, universiti dan industri, penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang membantu jurulatih membuat keputusan berdasarkan bukti saintifik. Namun, manfaat tersebut hanya dapat direalisasikan sekiranya institusi berkenaan mempunyai kepakaran berkualiti, kemudahan yang dimanfaatkan secara optimum dan penyelidikan yang benar-benar menjawab keperluan sukan negara.

Satu lagi rasional penting penubuhan Universiti Sukan Malaysia ialah keperluan menyediakan masa depan kerjaya atlet selepas persaraan daripada sukan kompetitif. Hakikatnya, tempoh seseorang atlet berada pada kemuncak prestasi adalah terhad, sedangkan kehidupan selepas persaraan mungkin berlangsung selama beberapa dekad. Tidak semua atlet berpeluang menjadi jurulatih kebangsaan, pegawai sukan atau penjawat awam selepas menamatkan kerjaya mereka. 

Oleh itu, universiti sukan yang dirancang secara strategik perlu menyediakan pendidikan berteraskan dual-career development, iaitu pembangunan kerjaya sukan dan kerjaya profesional secara serentak. Selain memperoleh ijazah akademik, atlet boleh dilengkapkan dengan pensijilan profesional dan skill kemahiran tambahan dalam pelbagai bidang seperti bidang terapi sukan, teknologi sukan, kejurulatihan sukan, kecergasan sukan, keusahawanan sukan, pengurusan fasiliti, e-sukan dan pemasaran digital. Lebih penting, mereka perlu didedahkan kepada ilmu pengurusan perniagaan, inovasi produk, pengurusan kewangan dan pembangunan keusahawanan supaya mampu menjadi usahawan serta majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat. 

Dalam konteks ini, kejayaan sesebuah universiti sukan tidak sepatutnya diukur berdasarkan jumlah pingat yang dimenangi oleh atletnya semata-mata, tetapi juga melalui kebolehpasaran graduan, kadar keusahawanan, penciptaan peluang pekerjaan dan kesejahteraan kehidupan atlet selepas persaraan. Inilah transformasi yang perlu difahami, iaitu daripada melahirkan pemburu pingat kepada membangunkan modal insan yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara sepanjang hayat. 

Dari perspektif ekonomi, penubuhan Universiti Sukan Malaysia berpotensi menjadi pemangkin pembangunan industri sukan melalui penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi, penyelidikan, pengkomersialan inovasi dan kerjasama strategik dengan sektor swasta. Ekosistem sukan tidak terhad kepada pertandingan dan pembangunan atlet semata-mata, sebaliknya merangkumi industri peralatan sukan, teknologi kecergasan, rehabilitasi sukan, pelancongan sukan, pengurusan acara, perkhidmatan kesejahteraan, analisis prestasi dan keusahawanan digital. 

Universiti khusus sukan boleh memainkan peranan sebagai pusat pembangunan bakat profesional yang menghubungkan pendidikan akademik dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk menawarkan sijil kemahiran, diploma, ijazah serta program pembelajaran sepanjang hayat. Hubungan antara universiti, industri dan agensi kerajaan juga boleh diperkukuh melalui pembangunan teknologi watan, penubuhan syarikat pemula niaga, latihan industri dan program pemindahan ilmu kepada komuniti. 

Walau bagaimanapun, potensi ekonomi tersebut tidak wajar dianggap sebagai pulangan yang pasti tanpa kajian kebolehlaksanaan dan analisis kos-faedah yang menyeluruh. Penubuhan universiti baharu memerlukan pelaburan awam yang besar dan perlu dibuktikan memberikan nilai tambah berbanding memperkukuh institusi sedia ada. Justeru, mereka yang memperjuangkan idea ini perlu bersedia mengemukakan model kewangan yang mampan, unjuran kebolehpasaran graduan dan petunjuk prestasi yang boleh diukur agar cadangan tersebut benar-benar menjadi pelaburan strategik negara, bukannya projek pembangunan fizikal semata-mata. 

Dalam memperjuangkan penubuhan Universiti Sukan Malaysia, penyokong cadangan ini juga perlu bersikap terbuka terhadap persoalan kritikal berkaitan kos pembangunan, pertindihan program akademik, keperluan tenaga pakar, kapasiti pengambilan pelajar dan keberkesanan tadbir urus. Malaysia telah mempunyai universiti awam dan swasta yang menawarkan program sains sukan, pendidikan sukan, pengurusan sukan dan bidang berkaitan. 

Oleh itu, penubuhan sebuah universiti khusus tidak boleh diasaskan kepada hujah bahawa institusi sedia ada gagal melaksanakan tanggungjawab mereka. Sebaliknya, cadangan tersebut perlu membuktikan kewujudan jurang strategik yang belum dapat ditangani secara optimum melalui struktur pendidikan tinggi semasa. Antara pendekatan yang wajar dipertimbangkan termasuklah menaik taraf pusat kecemerlangan sedia ada seperti Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN), membangunkan konsortium universiti sukan kebangsaan di Bukit Jalil atau melaksanakan penubuhan universiti khusus secara berfasa. Kajian kebolehlaksanaan bebas perlu dilaksanakan dengan penglibatan Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, pakar akademik, wakil industri, persatuan sukan serta atlet. Penilaian tersebut hendaklah merangkumi keperluan pasaran, kemampuan kewangan negara, keberkesanan model pentadbiran dan impak jangka masa panjang terhadap pembangunan sukan. 

Sesungguhnya, memperjuangkan penubuhan universiti sukan bukan bermaksud menuntut agar sebuah institusi diwujudkan tanpa soal, tetapi mengemukakan suatu pilihan dasar yang layak dinilai secara serius, objektif dan berasaskan fakta. Keikhlasan perjuangan ini perlu dibuktikan melalui ketelusan, kesediaan menerima kritikan dan keutamaan terhadap kepentingan negara melebihi kepentingan individu. Kesimpulannya, tanggapan bahawa cadangan penubuhan Universiti Sukan Malaysia tidak mempunyai manfaat atau sekadar suatu gagasan syok sendiri merupakan pandangan yang perlu diuji secara ilmiah, bukannya diterima sebagai suatu kebenaran mutlak. 

Kewujudan universiti khusus sukan di beberapa negara membuktikan bahawa model pendidikan sedemikian mempunyai asas akademik dan potensi pembangunan yang wajar dikaji, namun pengalaman antarabangsa tidak secara automatik menjamin kejayaan pelaksanaannya di Malaysia. Mereka yang menyokong cadangan ini tidak seharusnya terus dianggap sebagai golongan yang bercakap kosong, kurang memahami realiti pendidikan tinggi atau mempunyai kepentingan peribadi, sebagaimana pihak yang tidak bersetuju juga tidak wajar dilabel sebagai menolak kemajuan sukan negara. Kedua-dua pandangan mempunyai tempat dalam perbahasan dasar yang matang, dengan syarat hujah disokong oleh bukti, data dan pertimbangan kepentingan awam. 

Malaysia perlu berani bertanya sama ada struktur pendidikan, penyelidikan, teknologi dan pembangunan kerjaya atlet yang tersedia pada hari ini sudah mencukupi untuk memenuhi aspirasi sukan negara bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. Sekiranya kajian yang teliti membuktikan bahawa sebuah universiti khusus mampu memberikan nilai tambah yang signifikan, maka cadangan tersebut wajar dipertimbangkan sebagai pelaburan strategik jangka masa panjang. 

Sebaliknya, jika matlamat yang sama dapat dicapai dengan lebih berkesan melalui pengukuhan institusi sedia ada, pilihan tersebut juga perlu diberikan pertimbangan yang adil. Akhirnya, perjuangan sebenar bukanlah untuk memastikan sebuah universiti baharu mesti ditubuhkan, tetapi untuk memastikan Malaysia mempunyai ekosistem pendidikan dan pembangunan sukan yang mampu melahirkan atlet berkelas dunia, graduan berkemahiran tinggi, penyelidik berinovasi dan usahawan yang mencipta peluang pekerjaan sekaligus memecah tembok pertama olimpik emas pertama Malaysia. 

Idea yang besar tidak sepatutnya ditolak hanya kerana kedengaran terlalu bercita-cita tinggi; sebaliknya, idea tersebut mesti diuji melalui ilmu, diperhalusi melalui kajian dan dilaksanakan berdasarkan keperluan negara. 

Anda mungkin berminat dengan

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Must Watch Video