UNIVERSITI SUKAN MALAYSIA MEMBINA MASA DEPAN ATLET SELEPAS PERSARAAN: TRANSFORMASI DARI GRADUAN KEPADA PENCIPTA PEKERJAAN.
Penubuhan Universiti Sukan Malaysia perlu dilihat sebagai satu anjakan paradigma dalam sistem pembangunan sukan negara, iaitu daripada pendekatan yang terlalu tertumpu kepada pencapaian pingat kepada pembangunan modal insan sukan yang holistik, berdaya saing dan berkemampuan mencipta peluang pekerjaan.
Selama ini, kejayaan seseorang atlet sering dinilai berdasarkan jumlah pingat, rekod kejohanan dan pencapaian di pentas antarabangsa. Walau bagaimanapun, persoalan yang lebih besar perlu diberikan perhatian, iaitu apakah bentuk kehidupan, kerjaya dan sumber pendapatan yang bakal dimiliki oleh seseorang atlet apabila mereka tidak lagi aktif dalam arena pertandingan? Hakikatnya, kerjaya sebagai atlet mempunyai jangka hayat yang terhad, sedangkan tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat berterusan sepanjang kehidupan.
Sehubungan itu, Universiti Sukan Malaysia dicadangkan untuk memperkenalkan satu model pendidikan tinggi yang mengintegrasikan kecemerlangan sukan, pengajian ijazah fleksibel, pensijilan kompetensi pekerjaan dan pembangunan keusahawanan. Matlamatnya bukan sekadar melahirkan atlet yang mampu mencari pekerjaan selepas bersara (job seeker), tetapi membangunkan generasi atlet yang berpotensi menjadi usahawan, pemilik perniagaan dan majikan yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain (job creator).
Inilah dimensi baharu pembangunan atlet yang wajar diberikan perhatian dalam agenda transformasi pendidikan tinggi dan industri sukan Malaysia. Keunikan utama Universiti Sukan Malaysia yang dicadangkan ialah pelaksanaan sistem pengajian ijazah secara fleksibel, khususnya bagi memenuhi keperluan atlet kebangsaan yang terlibat dalam latihan intensif dan pertandingan antarabangsa. Atlet yang mewakili negara dalam Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik sering berhadapan dengan cabaran untuk menyeimbangkan tuntutan akademik dengan komitmen latihan serta pertandingan.
Oleh itu, universiti ini perlu menawarkan pendekatan pembelajaran hibrid, kursus modular, microcredential, pemindahan kredit dan pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu, tertakluk kepada standard jaminan kualiti akademik yang ditetapkan. Lebih penting, struktur kurikulum perlu mengintegrasikan pendidikan keusahawanan, pengurusan kewangan, pemasaran digital, kepimpinan organisasi dan pembangunan perniagaan sebagai sebahagian daripada kompetensi graduan.
Sebagai contoh, seorang atlet bola sepak yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan bukan sahaja mempelajari teori pengurusan organisasi sukan, tetapi turut dilatih membangunkan model perniagaan akademi bola sepak, menyediakan rancangan kewangan, mengurus sumber manusia dan merancang strategi pemasaran. Pendekatan ini membolehkan ilmu akademik diterjemahkan kepada kemahiran profesional serta keupayaan membangunkan perusahaan sendiri selepas persaraan.
Dengan demikian, ijazah yang diperoleh bukan sekadar menjadi dokumen kelayakan akademik, tetapi berfungsi sebagai asas pembentukan profesional sukan dan bakal usahawan yang berpengetahuan. Selain menawarkan kelayakan akademik, Universiti Sukan Malaysia perlu menyediakan ekosistem latihan kemahiran tambahan dan pensijilan kompetensi profesional yang mempunyai nilai pasaran dalam pelbagai sektor pekerjaan. Antara bidang yang berpotensi ditawarkan termasuk urutan sukan, terapi kesejahteraan, dandanan rambut, kejurulatihan, pengurusan sukan, fotografi sukan, pengulas sukan, penyiaran digital, penganjuran acara sukan, pengendalian gimnasium, latihan peribadi kecergasan, pengurusan fasiliti rekreasi dan penghasilan kandungan kreatif.
Pensijilan tersebut boleh dibangunkan melalui kerjasama dengan badan profesional, agensi latihan kemahiran, persatuan sukan kebangsaan dan rakan industri, termasuk laluan pensijilan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi bidang yang mempunyai standard pekerjaan berkaitan. Sebagai contoh, seorang atlet badminton boleh memperoleh ijazah dalam bidang sains sukan, sijil kompetensi kejurulatihan, sijil pengurusan acara dan kemahiran pemasaran digital secara berperingkat sepanjang tempoh pengajian.
Gabungan kelayakan ini membolehkan atlet meneroka pelbagai sumber pendapatan melalui pekerjaan sambilan, perkhidmatan profesional atau aktiviti keusahawanan. Malah, penguasaan pelbagai kemahiran juga meningkatkan kebolehsuaian individu terhadap perubahan pasaran pekerjaan dan mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu bidang kerjaya sahaja. Justeru, konsep satu atlet, satu ijazah dan pelbagai sijil kompetensi berpotensi menjadi identiti utama model pendidikan Universiti Sukan Malaysia. Aspek yang lebih signifikan dalam cadangan ini ialah pembangunan keupayaan atlet untuk mentransformasikan kemahiran individu kepada perusahaan yang berdaya maju dan berpotensi menggaji pekerja.
Sebagai contoh, seorang bekas atlet yang memiliki kompetensi dalam urutan sukan tidak semestinya perlu bekerja sebagai juruterapi sepanjang hayat, sebaliknya boleh membangunkan pusat terapi sukan dan rehabilitasi yang menggaji juruterapi bertauliah, pegawai pentadbiran serta kakitangan pemasaran, dengan perkhidmatan klinikal dikendalikan oleh profesional yang mempunyai kelayakan kompetensi berkaitan. Begitu juga atlet yang mempunyai kemahiran dandanan rambut boleh membuka rangkaian kedai gunting rambut, manakala atlet yang berpengalaman dalam bidang kecergasan berpotensi menubuhkan pusat latihan peribadi atau gimnasium komuniti.
Atlet yang memiliki kemahiran fotografi dan penyiaran sukan pula boleh membangunkan syarikat produksi media sukan, sementara mereka yang mempunyai kepakaran pengurusan acara boleh menubuhkan syarikat penganjuran kejohanan, program rekreasi dan aktiviti sukan korporat. Perubahan daripada penyedia perkhidmatan individu kepada pemilik perusahaan merupakan satu proses peningkatan nilai ekonomi yang penting kerana pendapatan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja sendiri, sebaliknya boleh berkembang melalui sistem pengurusan, inovasi perkhidmatan dan pengambilan pekerja.
Oleh itu, Universiti Sukan Malaysia perlu melatih atlet memahami keseluruhan rantaian pembangunan perniagaan, daripada penguasaan kemahiran teknikal sehingga kepada pembentukan organisasi yang mampu beroperasi secara profesional dan mampan. Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, Universiti Sukan Malaysia dicadangkan membangunkan sebuah pusat pembangunan keusahawanan sukan bersepadu atau Sports Entrepreneurship and Innovation Hub yang berfungsi sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman industri sebenar.
Melalui pusat ini, mahasiswa atlet boleh diberikan peluang mengendalikan perniagaan berskala kecil dalam persekitaran kampus seperti studio fotografi, pusat urutan sukan, kedai dandanan rambut, pusat kecergasan, akademi kejurulatihan, perkhidmatan pengurusan acara dan platform penyiaran sukan digital. Setiap aktiviti perniagaan boleh diselia oleh pensyarah, mentor industri dan usahawan berpengalaman bagi memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan, etika profesional, perundangan dan pengurusan kewangan.
Sebagai contoh, mahasiswa atlet yang mengikuti kursus keusahawanan boleh ditugaskan membangunkan sebuah perniagaan sebenar secara berkumpulan, bermula daripada kajian pasaran, penyediaan modal permulaan, strategi pemasaran, pengurusan operasi sehingga kepada penilaian keuntungan dan kepuasan pelanggan. Pendekatan pembelajaran berasaskan perusahaan ini membolehkan mahasiswa memperoleh pengalaman membuat keputusan, mengurus risiko, menyelesaikan masalah dan memimpin pasukan kerja. Lebih menarik, perniagaan yang menunjukkan potensi pertumbuhan boleh dibimbing melalui program inkubator, pembiayaan permulaan dan jaringan industri untuk diteruskan selepas tamat pengajian.
Dengan cara ini, universiti bukan sahaja melahirkan graduan yang bersedia memasuki pasaran pekerjaan, tetapi turut membangunkan perusahaan Baharu yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi setempat. Persaraan daripada arena sukan seharusnya dilihat sebagai satu proses peralihan kerjaya dan bukannya pengakhiran kepada potensi profesional seseorang atlet. Kajian dalam bidang psikologi sukan dan pembangunan kerjaya atlet menunjukkan bahawa proses peralihan daripada sukan kompetitif kepada kehidupan selepas persaraan melibatkan pelbagai dimensi, termasuk identiti diri, kesejahteraan psikologi, hubungan sosial dan kestabilan ekonomi. Atlet yang terlalu bergantung kepada identiti sebagai ahli sukan mungkin menghadapi cabaran penyesuaian sekiranya tidak mempunyai perancangan kerjaya alternatif.
Oleh itu, Universiti Sukan Malaysia perlu memperkenalkan program pembangunan dua kerjaya atau Dual Career Athlete Development yang bermula sejak atlet mendaftar sebagai mahasiswa. Melalui pendekatan ini, setiap atlet boleh dibimbing membangunkan pelan kerjaya jangka masa panjang yang merangkumi kelayakan akademik, kemahiran tambahan, pengalaman industri, literasi kewangan dan perancangan keusahawanan. Sebagai contoh, seorang atlet yang bersara pada usia muda akibat kecederaan mungkin tidak lagi mampu meneruskan pertandingan berprestasi tinggi, tetapi masih mempunyai peluang untuk mengendalikan akademi sukan, menjadi pengurus pusat kecergasan atau membangunkan syarikat perkhidmatan sukan berdasarkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi.
Sekiranya persediaan ini dilakukan secara berstruktur, persaraan atlet berpotensi menjadi permulaan kepada fasa kerjaya kedua yang lebih stabil, produktif dan bermakna. Pendekatan tersebut turut menyokong pembangunan kesejahteraan atlet sepanjang hayat serta membantu mengurangkan risiko ketidakstabilan kewangan selepas persaraan. Cadangan pembangunan Universiti Sukan Malaysia juga selari dengan pendekatan antarabangsa yang menekankan kepentingan pendidikan, kebolehpasaran graduan dan perancangan kerjaya sepanjang hayat bagi golongan atlet.
Kesatuan Eropah melalui EU Guidelines on Dual Careers of Athletes (2012) telah menggariskan keperluan mewujudkan persekitaran yang membolehkan atlet menggabungkan latihan sukan berprestasi tinggi dengan pendidikan serta pembangunan kerjaya. Selain itu, inisiatif Athlete365 Career+ oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa turut memberikan penekanan terhadap persediaan kerjaya dan pembangunan kemahiran bagi membantu atlet menghadapi peralihan kehidupan profesional. Walaupun pendekatan tersebut tidak semestinya berasaskan penubuhan universiti sukan khusus, prinsip pembangunan dua kerjaya yang diketengahkan boleh dijadikan asas untuk membentuk model pendidikan sukan yang lebih komprehensif di Malaysia.
Dalam konteks tempatan, Universiti Sukan Malaysia berpotensi bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Jabatan Pembangunan Kemahiran serta agensi pembangunan keusahawanan bagi mewujudkan laluan pendidikan, pensijilan dan pembangunan perniagaan yang saling melengkapi. Kerjasama strategik ini boleh membuka peluang kepada atlet untuk membangunkan perusahaan dalam industri kecergasan, terapi sukan, teknologi sukan, pengurusan acara, pelancongan sukan dan ekonomi digital.
Sekiranya dilaksanakan dengan sokongan dasar, pembiayaan dan jaringan industri yang kukuh, model ini berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana, penciptaan pekerjaan serta pengukuhan ekosistem industri sukan negara. Kesimpulannya, aspirasi penubuhan Universiti Sukan Malaysia perlu melangkaui matlamat konvensional untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi dan graduan yang memiliki kelayakan akademik semata-mata.
Sebaliknya, universiti ini wajar dibangunkan sebagai sebuah institusi strategik yang mampu menghasilkan tiga bentuk kecemerlangan secara serentak, iaitu kecemerlangan sukan, kecemerlangan akademik dan kecemerlangan keusahawanan. Kejayaan universiti pada masa hadapan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pingat yang dimenangi atau bilangan graduan yang memperoleh pekerjaan sahaja, tetapi turut mengambil kira bilangan atlet yang berjaya memperoleh sijil kompetensi, membangunkan perusahaan, menjadi majikan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat.
Bayangkan sekiranya seorang bekas atlet kebangsaan berjaya menubuhkan sebuah akademi sukan yang menggaji sepuluh orang jurulatih, atau seorang bekas atlet olahraga membangunkan rangkaian pusat kecergasan yang menyediakan pekerjaan kepada puluhan graduan sukan. Walaupun kejayaan sedemikian memerlukan perancangan, modal, bimbingan dan keadaan pasaran yang sesuai, potensinya memperlihatkan bagaimana pelaburan negara terhadap pembangunan atlet boleh menghasilkan pulangan sosial dan ekonomi yang lebih luas.
Oleh itu, konsep “Daripada Pemburu Pingat kepada Pencipta Pekerjaan” perlu dijadikan antara teras utama dalam perancangan Universiti Sukan Malaysia. Negara bukan sahaja memerlukan atlet yang mampu berdiri megah di podium kemenangan, tetapi juga bekas atlet yang mampu berdiri sebagai pemimpin organisasi, pemilik perusahaan, pencipta pekerjaan dan penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Pingat merupakan lambang kejayaan dalam pertandingan, ijazah menjadi asas penguasaan ilmu, kemahiran membuka peluang pendapatan, manakala keusahawanan membolehkan seseorang atlet mencipta peluang kehidupan bukan sahaja untuk dirinya dan keluarga, tetapi juga untuk masyarakat. Inilah revolusi pendidikan sukan yang wajar diperjuangkan demi masa depan atlet dan pembangunan Malaysia.