UM Damansara United memilih untuk tidak tergesa-gesa dalam proses mencari ketua jurulatih baharu bagi menghadapi musim 2026/2027, sama ada Nidzam Jamil atau Asri Ninggal menjadi pilihan pengurusan kelab.
Presiden kelab, Afizal Abu Othman menegaskan bahawa segala perancangan teknikal pasukan ketika ini masih bergantung kepada keputusan sama ada UM Damansara akan beraksi di Liga Super atau kekal dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim depan.
“Kami tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Segala perancangan akan disusun berdasarkan status liga yang akan kami sertai nanti,” katanya.
Sebelum ini, laporan Nadi Arena menyebut Amateur Football League (AFL) melihat UM Damansara United sebagai antara calon terbaik untuk dinaikkan ke Liga Super berdasarkan keupayaan kelab memenuhi kriteria dalam dan luar padang.
Bagaimanapun, penyertaan kelab itu masih tertakluk kepada kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) yang dijangka bermesyuarat minggu hadapan bagi membuat keputusan muktamad.
Untuk rekod, UM Damansara United menamatkan saingan Liga A1 musim lalu di kedudukan keenam, namun berjaya memperoleh lesen kebangsaan luar biasa bagi kitaran pelesenan MFL 2025/26 hasil penilaian menyeluruh oleh First Instance Body (FIB).
Afizal dalam pada itu menegaskan kelab kekal komited untuk memperkukuh struktur pasukan tanpa mengira liga yang akan disertai, dengan fokus utama adalah kestabilan jangka panjang dan pembangunan prestasi.